Subuh
5:56
Syuruk
7:13
Zuhur
1:17
Asar
4:27
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Doktor cetus inspirasi Natasha ceburi bidang pediatrik

Aug 03, 2019 | 05:30 AM

SEMASA usianya sekitar tiga tahun, Natasha Nabila Muhammad Nasir masih teringat beliau sering perlu berjumpa doktor kerana dijangkiti virus mikroplasma.

Ketika itu, beliau masih ingat lagi rasa gelisah yang dihadapinya setiap kali menjejakkan kaki ke klinik.

Tetapi pendekatan dan layanan mesra yang diberikan oleh Dr Loke - seorang doktor yang merawatnya - banyak memberi anak sulung dua beradik ini ketenangan.

Secara tidak langsung, ia memberinya inspirasi dan memupuk minatnya untuk menceburi bidang perubatan khususnya sebagai pakar pediatrik.

Beberapa tahun kemudian, Cik Natasha kini dalam perjalanan untuk mengejar cita-citanya.

Berita Popular

Cik Natasha yang telah memecahkan rekod Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dengan meraih agregat tertinggi 294 pada 2007, sekarang ini sedang mengikuti pengajian di Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau adalah antara 83 siswa dan siswi kohort ke-13 sekolah tersebut.

Majlis Kot Putih telah diadakan bagi kohort terbaru itu di Auditorium SingHealth Academia, malam semalam.

Dalam kalangan mereka, 17 merupakan pemegang ijazah sarjana sementara dua lagi pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Di akhir pengajian selama empat tahun di Sekolah Perubatan Duke-NUS ini, pelajar akan meraih sarjana Doktor Perubatan (Doctor of Medicine - MD) sebelum mengikuti program residency pula.

Ini merupakan ijazah kedua yang ingin diburunya.

Tahun lalu, anak muda berusia 24 tahun itu baru sahaja meraih ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Hayat dengan pengkhususan Sains Bioperubatan di NUS.

Meskipun laluan yang diikutinya lebih panjang, Cik Natasha, yang mengikuti Program Bersepadu (IP) di Sekolah Perempuan Raffles sebelum ini berkata, ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya.

Enggan menjelaskan lebih lanjut, Cik Natasha berkata kurikulum pengajiannya sekarang telah memberinya perspektif berbeza berhubung dunia perubatan.

"Sebagai pelajar di Duke-NUS, kami lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran kami sendiri. Pelbagai perbincangan, kolaborasi dan melakukan kerja bersama secara berkumpulan kerap dijalankan.

"Saya juga dapat meraih manfaat daripada pelbagai latar belakang pelajar lain dalam kohort ini," katanya.

Dalam kenyataan Sekolah Perubatan Duke-NUS, Naib Dekan Pendidikan Duke-NUS, Profesor Ian Curran, melahirkan rasa yakinnya bahawa kepelbagaian latar belakang pelajar itu akan menyuntik nilai unik dalam ekosistem penjagaan kesihatan.

"Kita akan terus memupuk clinician berkualiti tinggi yang akan berkhidmat untuk keperluan rakyat Singapura dengan belas kasihan dan cemerlang," ujarnya.

Meskipun akur tentang cabaran yang bakal dilalui, Cik Natasha yang cenderung terhadap kanak-kanak dan pernah menjadi sukarelawan di Persekutuan Palsi Serebrum Singapura (CPAS), tetap positif mahu menjadikan impiannya satu kenyataan.

"Sokongan kukuh ibu bapa saya sering membakar semangat untuk saya terus memburu cita-cita," ujarnya.

Ibu Cik Natasha, Cik Zaharah Othman, 55 tahun, seorang suri rumah, manakala bapanya, Encik Muhamad Nasir Atan, 59 tahun, merupakan juru teknisyen di Singapore Airlines (SIA).

"Ada teman yang mempersoal keputusan saya meneruskan pelajaran empat tahun lagi selepas tamat pengajian tahun lalu.

"Bagi saya, saya tidak akan berhenti sehingga saya mencapai impian saya walaupun perjalanan pelajar perubatan ini ada kalanya berliku dan mencabar.

"Saya ingin membantu merawat kanak-kanak yang sakit selain menenangkan rasa gelisah yang mungkin mereka hadapi sebagaimana saya dulu," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map