Subuh
5:54
Syuruk
7:16
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Setempat0

DPM Heng lancar pelan hijau East Coast

Nov 30, 2020 | 05:30 AM

SEBANYAK 1,000 kit permulaan yang mengandungi paket tanah dan biji benih akan diedarkan kepada isi rumah yang mengambil bahagian dalam usaha "menghijaukan" lagi ruang koridor di sekitar estet perumahan GRC East Coast.

Di samping kit permulaan tersebut, sebuah "Ruang Hijau Kita" juga akan diperkenalkan kepada penduduk untuk keperluan kitar semula mereka atau mengambil bahagian dalam bengkel hijau yang dianjurkan.

Mereka juga dapat mengunjungi sebuah Taman Terapi yang mampu menjadi ruang bagi kegiatan bercucuk tanam selain dapat memberikan ketenangan mental dan membantu meningkatkan interaksi sosial di kalangan penduduk.

Ini merupakan sebahagian daripada Pelan Kelestarian dan Kehijauan East Coast yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan pasukan penasihat kawasan akar umbi itu semasa Pesta Hijau Pantai Timur 2020 yang diadakan secara dalam talian semalam.

Pelan tersebut dilancarkan menyusuli siri perbincangan dengan masyarakat yang diadakan sejak beberapa bulan lalu ke arah membina kawasan East Coast yang lebih bersih dan hijau serta melestarikannya untuk generasi masa hadapan.

Sewaktu mengongsi perincian lanjut, Encik Heng berkata pelan itu ditunjangi tiga strategi: penghijauan estet, masyarakat alam dan peta laluan kelestarian.

"Ia sungguh seronok dapat bertemu penduduk yang mengambil berat tentang alam sekitar dan sanggup menyumbang kepada usaha ini.

"Para penduduk kita merasakan bahawa kawasan East Coast yang hijau dan lestari adalah baik untuk kesejahteraan kita, dan bahawa kita perlu memainkan peranan untuk mengurangkan sisa sampah dan mengatasi perubahan iklim," kata Encik Heng.

September lalu, beliau turut mengumumkan rancangan pembinaan koridor penghubung menghijau sepanjang 15 kilometer yang akan menghubungkan Taman East Coast ke Taman Pantai Changi.

Koridor hijau berpusat baru itu akan terletak di sepanjang New Upper Changi Road dan Loyang Way dan juga akan dihubungkan dengan taman lain di sekitar laluan itu.

Pelbagai kegiatan dan program juga sedang dirancangkan untuk para penduduk dalam bulan mendatang ini, kata Encik Heng lagi.

Antara program baru yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada Pelan Kelestarian dan Kehijauan East Coast termasuk mendorong penduduk agar menanam sayur-sayuran mereka sendiri.

Sebagai permulaan, lebih 500 penduduk telahpun mengambil bahagian dalam bengkel "Menanam Makanan Anda Sendiri" yang diadakan dalam talian selepas pelancaran pelan itu.

Terdapat juga rancangan untuk mempertingkatkan dan menghidupkan lagi habitat semulajadi di sekitar GRC East Coast, yang termasuk Taman East Coast, Pulau Ubin dan Pantai Changi.

Menteri Kedua di Pejabat Perdana Meteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, berkata "beberapa peluang telah dikenalpasti untuk para penduduk yang dapat meningkatkan minat mereka terhadap kepelbagaian biologi dan mengambil tindakan langsung untuk mendokumentasikan, memulihara dan meningkatkan habitat ini".

"Usaha ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk hidupan liar dan memastikan habitat ini seperti Pulau Ubin tetap menjadi khazanah kepelbagaian yang dapat dinikmati semua warga Singapura," ujarnya yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map