DPM Heng lawat Berita Harian

TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, menemui kakitangan Berita Harian (BH) dalam lawatannya ke bilik-bilik berita Singapore Press Holdings (SPH) di Toa Payoh, pada 11 Nov.

Encik Heng ditemani Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, serta Menteri Negara (Tenaga Manusia dan Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, dalam lawatan tersebut.

Kedatangan mereka itu disambut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH, Encik Anthony Tan; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil (EMTM) di SPH, Encik Warren Fernandez; Editor BH, Encik Saat A. Rahman; Timbalan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, serta kakitangan SPH lain.

Dalam kunjungannya ke bilik berita BH, Encik Heng mendengar tentang perkembangan baru akhbar ini, termasuk usaha mendekati pembaca dalam ruangan digital.

Antaranya, akhbar ini baru-baru melancarkan Tablet BH yang membolehkan pembaca mengikuti berita menerusi e-akhbar.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, turut mengadakan lawatan ke bilik berita lain di SPH termasuk The Straits Times, Kumpulan Media Cina (CMG), serta akhbar Tamil Murasu (TM).

Setelah itu, Encik Heng, Encik Iswaran dan Encik Zaqy turut mengadakan dialog bersama beberapa editor dan wartawan SPH mengenai perkembangan semasa dan isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka.

Menulis di Facebook tentang kunjungannya ke SPH itu, Encik Heng berkata landskap media telah berubah, tetapi peranan media aliran utama tetap sama, iaitu untuk menjadi sumber berita yang boleh dipercayai.

“Saya senang hati bertemu ramai staf yang komited melaporkan berita yang tepat,” kata Encik Heng, yang berkata penularan berita palsu telah digunakan untuk memecah belah masyarakat.