Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Heng: Pastikan rakyat terima penjagaan kesihatan yang dimampui

Mar 30, 2021 | 05:30 AM



MASA depan penjagaan kesihatan di Singapura akan dibentuk oleh rakyat dan komitmen asas pemerintah untuk membantu setiap rakyat kekal aktif dan sihat, dan mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang boleh dimampui, sesuai dan bermutu, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.



Encik Heng menambah bahawa perkara itu adalah asas utama kompak sosial negara, yang mesti terus ditegakkan sedang penduduk semakin menua, dengan seperempat penduduk negara ini akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030.



Berucap di majlis ulang tahun ke-200 Hospital Besar Singapura (SGH) Rooted in Excellence semalam, Encik Heng berkata untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang bermutu dan boleh dimampui dalam cara mampan, setiap orang perlu memainkan peranan.



"Setiap rakyat Singapura, termasuk warga emas kita, mesti memberi penekanan lebih besar untuk kekal aktif dan sihat, dari segi badan dan minda.



"Sebagai sebuah masyarakat, kita juga harus memikul tanggungjawab kolektif yang lebih besar sama ada menerusi pengumpulan risiko sosial, seperti Medishield Hayat dan Careshield Hayat, atau menerusi cukai yang setiap daripada kita sumbang, agar kita boleh bina sebuah masyarakat lebih adil dan saksama untuk semua," kata beliau.



Semalam, Encik Heng menanam pokok longan di taman baru di SGH, dipanggil Bicentennial Garden, sebagai menandakan usaha meletakkan asas bagi pertumbuhan masa depan hospital itu.



Taman seluas 2,800 meter persegi itu terletak bersebelahan Blok Bowyer - sebuah monumen negara dan satu-satunya blok hospital itu yang masih wujud, yang dibuka pada tarikh yang sama semalam, pada 1926.



Sejarah SGH bermula pada 1821 sebagai sebuah hospital dalam kawasan kantonmen bagi askar sebelum ia akhirnya ditempatkan di Sepoy Lines di Outram Road pada 1882.



Sejarah modennya bermula pada 1926 apabila tiga blok - Bowyer, Stanley dan Norris - dibina untuk menyediakan sebuah hospital yang menawarkan 800 katil.



Hospital itu telah menyaksikan dan mengharungi pelbagai krisis kesihatan dan kejadian dalam sejarahnya sepanjang 200 tahun.



Ini termasuk penyakit beriberi pada 1890-an, wabak flu Sepanyol pada 1918, serangan udara Jepun semasa zaman peperangan, rusuhan kaum, letupan kapal minyak Greece Spyros, dan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sekarang.



Encik Heng berkata institusi penjagaan kesihatan, seperti SGH, mempunyai peranan besar dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang bermutu dan boleh dimampui - sesuatu yang telah dicapai negara ini dengan memanfaatkan perbelanjaan dalam cara yang terbaik.



Beliau turut membentangkan empat bidang transformasi bagi sektor penjagaan kesihatan untuk masa depan demi terus menyediakan penjagaan yang bermutu dan boleh dimampui.



Ini termasuk peralihan daripada penjagaan kesihatan kepada menjaga kesihatan, dengan tumpuan harus beralih daripada merawat kesihatan yang tidak baik hanya apabila ia berlaku kepada menggalak kesihatan dan kecergasan.



Encik Heng berkata penyakit kencing manis merupakan satu cabaran terbesar negara ini, di mana Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pernah mengisytiharkan "Perang ke atas Kencing Manis" pada 2016 untuk meningkatkan kesedaran, menggalak gaya hidup sihat, dan pengesanan awal.



Usaha itu telah menunjukkan beberapa hasil awal yang baik, misalnya, dengan lebih 800,000 orang mengambil bahagian dalam National Steps Challenge pada 2019 - empat kali lebih ramai daripada 2016.



Bidang transformasi kedua ialah peralihan ke arah penyepaduan penjagaan yang lebih besar, dengan Encik Heng berkata pendekatan sistem perlu diambil untuk memastikan pesakit dipadankan dengan penyedia penjagaan kesihatan yang betul untuk mengoptimumkan penggunaan sumber penjagaan kesihatan.



Ini termasuk mengalihkan lebih banyak penjagaan daripada hospital akut ke peringkat masyarakat.



Beliau menambah bahawa inovasi penjagaan kesihatan harus terus diusahakan, lebih-lebih lagi kerana pelaburan Singapura dalam sains dan teknologi telah meningkatkan sebahagian besar hasil kesihatan dan kecekapan kos dalam beberapa dekad lalu.



Pelaburan tersebut juga telah menyumbang kepada usaha menentang Covid-19, kata Encik Heng.



Contohnya, kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Fortitude yang dibangunkan Singapura kini digunakan lebih 45 negara.



Encik Heng menambah bahawa Covid-19 juga telah menimbulkan bidang transformasi keempat, iaitu daya ketahanan dan keteguhan sistem penjagaan kesihatan.



Beliau berkata Singapura tidak boleh menjangkakan sepenuhnya apakah pandemik seterusnya yang akan berlaku dan keupayaan yang diperlukan untuk memeranginya.



Namun, usaha harus diteruskan untuk memperkukuh sistem dan keupayaan, dan pekerja barisan depan mesti kekal tangkas dan boleh menyesuaikan diri dalam situasi virus ini dan krisis masa depan.



"Sedang kita belajar hidup dengan virus ini, kita mesti teruskan usaha transformasi dan inovasi penjagaan kesihatan. Pandemik ini akan berakhir pada suatu ketika, namun tidak ada yang dapat menghentikan penduduk kita yang menua.



"Keupayaan anda untuk menyesuaikan diri dan berinovasi, sementara memberikan penjagaan kepada pesakit anda akan menentukan sama ada kita boleh menyediakan penjagaan kesihatan bermutu sambil mengekalkan kos yang boleh dimampui," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >