Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Setempat

DPM Heng: Pemerintah akan sokong pekerja, firma

Jun 09, 2020 | 05:30 AM

PANDEMIK Covid-19 akan mempercepatkan perubahan struktur utama ke atas industri dan kehilangan pekerjaan dalam sektor mudah terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Namun, pemerintah akan menyokong pekerja mempertingkat kemahiran dan syarikat memikirkan semula model perniagaan mereka agar Singapura boleh mengatasi krisis itu dan muncul lebih kukuh.

Dalam satu wawancara bersama akhbar The Straits Times dan The Business Times semalam, Encik Heng berkata dunia kini sedang berdepan dengan tahap ketidakpastian yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang menjangkaui apa yang dilihat semasa krisis kewangan sejagat dan Asia.

Disebabkan kejutan kitaran "amat mendalam" terhadap permintaan dan bekalan sejagat, tidak jelas apakah bentuk pemulihan ekonomi, kata Encik Heng, kepada editor bersekutu ST Vikram Khanna, sambil menambah bahawa ia bergantung pada cara negara menangani perubahan struktur yang ketara dan dipercepatkan dalam tiga bidang.

Pertama, inovasi kerana pandemik itu memaksa syarikat melakukan kerja dari rumah dan e-dagang. Ia juga mencetuskan perkembangan dalam jagaan kesihatan, seperti pembangunan vaksin dan teleperubatan, kata beliau.

Kedua, globalisasi. Model kelebihan perbandingan Ricardian - di mana negara mengkhususkan diri dalam barangan dan perkhidmatan yang mereka lebih produktif - mungkin kurang relevan dalam ekonomi digital hari ini, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa corak globalisasi baru akan memberi keutamaan bukan pada kecekapan dan produktiviti sahaja, malah daya ketahanan dan kesaksamaan.

"Anda tidak boleh ada proses globalisasi di mana segmen penduduk yang besar berasa mereka ketinggalan, bahawa kehidupan mereka tidak menjadi lebih baik. Dan politik yang anda lihat dalam banyak ekonomi maju merupakan amaran kepada kita semua tentang betapa perubahan itu akan meretakkan masyarakat dan meretakkan sokongan pengkhususan buruh yang lebih baik di seluruh dunia," kata beliau.

Perubahan utama ketiga ialah masa depan pekerjaan. Dengan kecerdasan buatan (AI) dan robot yang dapat memproses algoritma dan mengambil alih pekerjaan yang dilakukan manusia, kedua-dua perkhidmatan yang memerlukan manusia (high-touch services) - seperti penolong kedai runcit - dan juga pekerjaan pengurus dan karyawan akan amat terjejas, kata Encik Heng.

"Kita akan menyaksikan penyusunan semula pasaran buruh ketara di seluruh dunia, peningkatan ekonomi gig dan pekerja bebas - dan ini akan menyebabkan tekanan besar dalam banyak masyarakat," ujar beliau.

Berhubung pilihan raya umum akan datang, Encik Heng berkata ia akan melakar perjalanan Singapura bukan bagi tiga hingga enam bulan mendatang, bahkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun mendatang.

"Pilihan raya ialah mengenai penentuan arah," kata beliau, sambil menambah bahawa terdapat cabaran besar yang perlu diatasi Singapura, dan peluang besar yang perlu direbut dalam tempoh sedekad mendatang.

"Jika Covid-19 merupakan ujian sebuah generasi, tempoh lima hingga 10 tahun mendatang akan menjadi ujian tentang bagaimana generasi kita mengatasi ujian ini... dan muncul lebih kukuh," tambah beliau.

Dalam hal itu, Encik Heng memuji ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, yang berkata di Parlimen bahawa politik partisan harus diketepikan dan harus terdapat perpaduan dalam tujuan menentang Covid-19.

Encik Heng berkata: "Itu adalah baik, bagi sebuah parti bertanggungjawab dan mengambil pandangan itu. Malangnya, itu bukan halnya bagi semua parti kerana ada parti yang (berkata) 'lihat, perkara ini tidak dilakukan dengan baik, perkara itu tidak dilakukan dengan baik' dan sebagainya."

Encik Heng juga berkata hasil cukai Singapura telah berkurangan disebabkan Covid-19, dan untuk membina semula kedudukan fiskalnya, pemerintah akan memperkukuh ekonomi dan menjadikan aliran hasil masa depan lebih berdaya tahan.

Beliau berkata sumbangan kepada simpanan pemerintah daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai setem telah merosot sejak penularan pandemik itu bermula kerana orang kurang berbelanja dan hartanah yang dibeli juga berkurangan.

Encik Heng juga bercakap tentang modal sosial untuk muncul lebih kukuh daripada pandemik kerana rakyat Singapura bersedia menyesuaikan diri dan memberi respons kepada nasihat baru sedang bukti perubatan baru muncul tentang Covid-19.

Satu lagi aspek utama ialah bagaimana rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang telah bersatu untuk membantu mereka yang kurang mampu dan menunjukkan pemikiran sivik yang patut dipuji, kata beliau.


Pilihan raya penentu arah

"Pilihan raya adalah mengenai penentuan arah... Jadi, jika Covid-19 adalah ujian generasi, lima hingga 10 tahun akan datang adalah ujian bagaimana generasi kita mengatasi ujian generasi ini dan muncul lebih kuat. Menjangkau politik parti dan pilihan raya, saya berharap rakyat Singapura akan menumpukan perhatian pada isu yang satu ini - bagaimana kita tetap bersatu padu sebagai rakyat? Sehubungan itu, saya harus memuji Encik Pritam Singh kerana mengatakan di Parlimen bahawa politik partisan harus diketepikan buat masa ini, bahawa kita harus bersatu padu dalam tujuan, dan saya rasa itu adalah baik bagi sebuah parti untuk bertanggungjawab dan mengambil pandangan itu. Ada masa dan tempat untuk mengimbas dan melihat apa yang boleh dilakukan, tetapi sekarang, anda berada di tengah-tengah pertempuran besar di pelbagai sudut, dan semua orang kita dan semua pemimpin kita di setiap segmen masyarakat mesti terlebih dahulu melihat apa yang berada di hadapan kita."

- Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengenai pilihan raya umum akan datang

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian