Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

DPM Heng: S’pura lebih bersedia atasi virus Wuhan; gesa warga periksa maklumat dan tidak sebar berita palsu mengenai virus

Jan 25, 2020 | 02:30 PM

 

VIRUS Wuhan merupakan cabaran baru bagi Singapura namun negara ini lebih bersedia mengatasi penularan virus tersebut, berbanding ketika wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat.

Namun, meskipun langkah-langkah telah diambil untuk mengurangkan kesan virus baru itu, warga Singapura harus memastikan mereka memeriksa maklumat yang diterima dan tidak menyebar berita palsu, kata Encik Heng kepada pihak media Sabtu ini (25 Januari).

Encik Heng berkata: “Saya harap bahawa setiap daripada kita memainkan peranan sebagai individu untuk memastikan kita lebih berwaspada, dan memastikan kita mengamalkan tabiat kebersihan yang baik.

“Dan lebih penting, untuk berhati-hati dan mengesan maklumat dan memastikan kita tidak sebarkan berita palsu.”

Pasukan bertindak berbilang kementerian telah ditubuhkan untuk menyatukan pelbagai agensi-agensi pemerintah yang telah mengambil langkah-langkah penjagaan seperti memulakan pemeriksaan suhu badan di pusat pemeriksaan darat, laut dan udara.

Encik Heng berkata pemerintah sedang memantau rapat perkembangan keadaan virus Wuhan supaya ia dapat bertindak pantas.

“Saya ingin memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa agensi-agensi kita sedang  melakukan yang terbaik untuk memantau keadaan dan bertindak jika perlu,” ujarnya.

Virus Wuhan itu telah dijangkiti lebih 1,200 orang dan membunuh lebih 40 orang di China.

Singapura telah mengesahkan tiga kes virus tersebut di sini.

Biarpun sikap berwaspada dipertingkatkan, warga Singapura boleh menyambut perayaan Tahun Baru Cina seperti biasa, kata Encik Heng.

Beliau bertemu pihak media di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, selepas melawat kakitangan lapangan terbang itu - termasuk pegawai keselamatan, pemandu teksi dan pekerja pembersihan - di pagi hari pertama Tahun Baru Cina.

Encik Heng ditemani Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Mary Liew, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, ahli jawatankuasa pusat serta pemimpin kesatuan NTUC.

Keseluruhannya, mereka menemui lebih 150 pekerja. Encik Heng memberikan sampul merah, buah oren mandarin dan hadiah lain kepada mereka.

Mengatakan suasana di kalangan pekerja lapangan terbang amat ceria, Encik Heng menzahirkan penghargaannya atas kerja keras mereka.

“Pekerja di lapangan terbang dan di pusat pemeriksaan utama kita, serta pengangkutan lain, pekerja penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting, sedang memastikan Singapura berfungsi dengan lancar dan selamat, ketika kita semua seronok menyambut perayaan kita,” katanya.

“Justeru, ia penting bagi kita menunjukkan penghargaan kita kepada mereka atas kerja keras yang telah mereka berikan,” tambah DPM Heng.

Lawatan ke lapangan terbang itu diakhiri dengan sesi lohei bersama pekerja, pemimpin kesatuan dan kakitangan pengurusan.

NTUC berkata pemimpin nasional dan kesatuan telah melakukan lawatan serupa untuk kira-kira 3,000 pekerja di sembilan lokasi pada Sabtu ini.