TIMBALAN Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam dilantik semula sebagai pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
MAS dalam kenyataan semalam berkata selain pelantikan semula itu, empat lagi anggota lembaga dilantik semula.
Mereka adalah Menteri Kewangan Heng Swee Keat; Pengerusi Enterprise Singapore Peter Ong; Presiden Majlis Agensi-agensi Hartanah Quek See Tiat dan Ketua Saintis Kesihatan, Kementerian Kesihatan (MOH) Tan Chorh Chuan.
Pelantikan semula itu berkuat kuasa dari 1 Jun tahun ini hingga 31 Mei 2021.
Encik Chaly Mah, pengerusi Netlink NBN Management, juga akan duduk dalam lembaga MAS bermula 1 Mei 2018 hingga 31 Mei 2020.
Encik Quek juga dilantik semula sebagai pengerusi jawatankuasa audit, manakala Encik Ong akan mempengerusikan jawatankuasa risiko MAS, yang akan menyemak dan memberi bimbingan berkaitan risiko yang dihadapi bank pusat berkenaan.
Beliau mengambil alih dari Encik Lim Chee Onn, yang akan melepaskan jawatannya pada 31 Mei.
Ketua Saintis Pertahanan Kementerian Pertahanan, Encik Quek Gim Pew dilantik berada dalam jawatankuasa risiko sebagai anggota bukan lembaga.