Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong, PM Modi, bincang kerjasama India-S'pura

Sep 21, 2022 | 05:32 AM



TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, membincangkan bidang kerjasama baru seperti tenaga bersih dan teknologi kewangan dalam satu pertemuan di ibu kota India, New Delhi, kelmarin.



Encik Modi turut diberi taklimat mengenai hasil sesi sulung Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) yang diadakan Sabtu lalu.



Beliau menyampaikan ucapan selamat kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan rakyat Singapura, dan melahirkan harapannya agar inisiatif seperti ISMR "akan membantu mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara".



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, sedang melakukan lawatan lima hari ke India yang bertujuan untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara itu.



"Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai bidang kerjasama baru seperti hidrogen hijau, tenaga suria, teknologi kewangan, serta pautan data," kata Encik Wong di Facebook menyusuli pertemuan yang diadakan kelmarin.



Ia turut dihadiri Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India, Cik Nirmala Sitharaman.



"India adalah rakan strategik penting Singapura dalam banyak sektor. Saya gembira kerana kadar pendekatan dua hala telah meningkat dengan ketara sedang pandemik reda," tambah beliau.



Encik Wong juga berharap Hackathon Singapura-India, yang terganggu oleh Covid-19, dapat dimulakan semula "untuk membina jambatan antara bakat muda kita".



Hackathon itu diadakan pada 2018 dan kemudian pada 2019 dengan pasukan campuran penuntut universiti dari kedua-dua negara berlumba-lumba mencipta huraian sofwe bagi menangani masalah kehidupan sebenar dalam bidang seperti pendidikan dan tenaga bersih.



India dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi dan politik yang rapat, dengan pertukaran politik peringkat tinggi kerap yang telah kembali rancak dengan pertukaran lawatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.



Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, melawat India untuk Mesyuarat Khas Menteri Ehwal Luar Asean-India pada Jun lalu, manakala Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, mengunjungi India Julai lalu.



Kedua-dua pihak telah mengadakan Perundingan Pejabat Ehwal Luar ke-16 di Singapura bulan lalu.



Encik Wong, Dr Balakrishnan, Encik Gan, dan Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Encik S. Iswaran, membentuk delegasi menteri Singapura di ISMR Sabtu lalu.



Pihak India termasuk Cik Sitharaman, Menteri Ehwal Luar, Encik S. Jaishankar, dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Piyush Goyal.



Hubungan ekonomi antara Singapura dengan India dipandu oleh Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh, yang ditandatangani pada 2005.



Tahun lalu, perdagangan barangan dua hala tahunan mencapai $26.8 bilion.



Singapura merupakan sumber utama pelaburan langsung asing ke India pada tahun kewangan 2021-22, menyumbang 27 peratus daripada aliran masuk AS$83.5 bilion ($117.6 bilion) negara itu.




"Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai bidang kerjasama baru seperti hidrogen hijau, tenaga suria, teknologi kewangan, serta pautan data.

India adalah rakan strategik penting Singapura dalam banyak sektor. Saya gembira kerana kadar pendekatan dua hala telah meningkat dengan ketara sedang pandemik reda."

- Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam catatannya di Facebook.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >