Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong umum pakej bantuan $1.5b bantu warga harungi kenaikan kos

Bantuan disasar ke kumpulan mudah terjejas dalam masyarakat termasuk keluarga pendapatan rendah, pekerja, pemandu teksi dan SME
Jun 22, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH semalam mengumumkan pakej bantuan bernilai $1.5 bilion untuk membantu warga Singapura mengharungi cabaran ekonomi dan kadar inflasi global yang tinggi kini.



Pakej tersebut disasarkan ke arah membantu kumpulan yang mudah terjejas dalam masyarakat, merangkumi antara lain keluarga berpendapatan rendah, pekerja, pemandu teksi dan syarikat kecil dan sederhana (SME) demi mengurangkan kesan inflasi terhadap mereka.



Mengumumkan pakej tersebut semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah memang sudah menjangka kenaikan harga pada awal tahun ini, justeru telah menyediakan pakej Belanjawan menyeluruh April lalu.



Namun sejak itu pertumbuhan global dan sekitaran inflasi terbukti lebih mencabar kini, dengan peperangan di Ukraine memburukkan lagi tekanan terhadap rantaian bekalan global manakala dasar perlindungan sesetengah negara menambahkan lagi gangguan rantaian bekalan itu.



Menurut Encik Wong, harga tenaga dan makanan global telah meningkat dengan mendadak dan inflasi dijangka menjejas sektor lain sebelum ia stabil.



Bahkan Singapura boleh menjangka kenaikan harga yang berterusan dalam beberapa bulan mendatang terutama harga tenaga yang dijangka kekal tinggi untuk baki tempoh tahun ini.



Namun, tegas beliau, "berbanding dengan negara lain, Singapura berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menangani cabaran ekonomi ini".



"Bagaimanapun sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kita tidak terlepas daripada kesan harga yang tinggi.



"Malah, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat harga meningkat secara berterusan, terutama harga tenaga dan makanan," kata Encik Wong dalam sidang akhbar di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).



Turut hadir di sidang itu ialah Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, dan Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat.



Di bawah pakej $1.5 bilion itu, sekitar 1.5 juta warga layak menerima Bayaran Khas Baucar GST (GSTV) sehingga $300 pada Ogos ini.



Kredit $100 pula akan diagihkan kepada setiap isi keluarga untuk membantu mereka membayar bil utiliti.



Untuk menyediakan sokongan berterusan kepada golongan berpendapatan rendah dan warga emas pula, dua skim akan dipertingkatkan - ComCare serta skim Elaun Singapura dan had pencen bulanan pesara.



Pemerintah juga akan meningkatkan bahagian pembiayaan bersamanya di bawah Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), manakala untuk mengekalkan sokongan kepada majikan yang pekerja mereka mudah terdedah, Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) dilanjutkan selama enam bulan lagi hingga Mac 2023.



Di bawah bantuan bagi kumpulan yang terjejas dengan kos bahan api lebih tinggi pula, penyewa teksi dan pemandu kereta sewa yang layak akan menerima pelepasan sekali sahaja sebanyak $150 pada Ogos 2022.



Pemandu bas combi dan limosin yang merupakan ahli Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional, serta pemandu penghantaran dan penunggang motosikal penghantaran yang merupakan ahli Persatuan Pejuang Penghantaran Nasional akan layak untuk memohon Skim Bantuan NTUC U FSE 2022.



Pemerintah juga akan menyediakan pengecualian satu bulan bagi Levi Pekerja Asing untuk 11 rumah penyembelihan ayam Singapura, yang mata pencarian pekerjanya bergantung kepada bekalan ayam hidup.



Ini akan membantu mengekalkan keupayaan industri di tengah-tengah larangan eksport ayam itu.



Pemerintah juga akan membantu perniagaan menghadapi peningkatan kos tenaga melalui pembiayaan bersama pelaburan dalam peralatan lebih cekap tenaga.



Ini akan dilaksanakan menerusi Geran Kecekapan Tenaga baru yang akan menyediakan SME sektor perkhidmatan makanan, pengilangan makanan dan runcit sehingga 70 peratus sokongan bagi menggunakan peralatan cekap tenaga dalam kategori yang diluluskan.



Menurut Encik Wong, pakej bantuan $1.5 bilion itu dibiayai melalui keluaran fiskal lebih baik daripada jangkaan untuk tahun kewangan 2021, hasil daripada pendapatan lebih tinggi berikutan pemulihan ekonomi lebih kukuh tahun lalu.



Ini selain perbelanjaan lebih rendah daripada Belanjawan bagi langkah tindak balas Covid-19 kerana varian Omicron ternyata kurang teruk daripada dijangkakan.



Pakej tersebut juga tidak mengeluarkan lanjut rizab terdahulu.



Encik Wong berkata beliau memahami kebimbangan ramai rakyat Singapura terhadap kenaikan harga dan kos sara hidup.



Namun beliau menjelaskan bahawa cabaran yang dihadapi kini bukan hanya mengenai inflasi tetapi juga mengenai menyesuaikan diri dengan perubahan struktur yang berlaku dalam persekitaran.



Ini termasuk perubahan iklim, peningkatan saingan dan ketegangan geopolitik yang berpotensi beralih ke arah dunia lebih berpecah-belah dan terpisah.



Katanya, walaupun Singapura kini berhadapan dengan beberapa krisis yang berlaku pada waktu yang sama, Encik Wong yakin dengan keupayaan kolektif Singapura untuk bersatu dan bekerjasama menangani cabaran tersebut.



"Kita telah melakukannya dalam tempoh dua tahun lalu melawan Covid-19, dan kita telah membuktikan kita lebih kukuh apabila kita bersatu. Kita perlu beranikan diri untuk perjalanan yang sukar di hadapan," kata Encik Wong.




BERSAMA HARUNGI CABARAN



"Kita telah melakukannya dalam tempoh dua tahun lalu melawan Covid-19, dan kita telah membuktikan kita lebih kukuh apabila kita bersatu. Kita perlu beranikan diri untuk perjalanan yang sukar di hadapan."
- DPM Lawrence Wong.




SEKILAS LANGKAH SOKONGAN



INDIVIDU DAN ISI RUMAH



  • Baucar GST-Bayaran Khas Tunai hingga $300, tambahan kepada Baucar GST-Tunai lain Kredit Utiliti $100 bagi setiap isi rumah warga Singapura

  • Peningkatan kepada bantuan ComCare Jangka Pendek hingga Pertengahan (SMTA) dan Bantuan Jangka Panjang (LTA)

  • Semakan bagi Elaun Singapura dan siling bayaran pencen untuk membantu pesara yang menerima bayaran pencen lebih rendah

PEKERJA SENDIRI



  • Bayaran sekali $150 bagi pemandu teksi dan kereta sewa peribadi yang layak pada Ogos 2022

  • Bantuan tunai hingga $300 di bawah Skim Bantuan Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (U FSE) bagi pemandu bas combi, limousin, pekerja penghantaran yang merupakan anggota persatuan

PERNIAGAAN



  • Pemerintah akan menaikkan kadar pembiayaan bersama di bawah Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) daripada 50 kepada 75 peratus bagi pekerja setempat yang raih pendapatan hingga $2,500 sebulan, dan 30 kepada 45 peratus bagi mereka yang raih pendapatan lebih $2,500 hingga $3,000

  • Lanjutan sokongan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) selama enam bulan lagi hingga Mac 2023

  • Levi pekerja migran ditiadakan selama sebulan bagi 11 rumah penyembelihan ayam Singapura

  • Geran Kecekapan Tenaga bagi SME setempat dalam sektor khidmat makanan, pengilangan makanan dan runcit

  • Skim Pembiayaan Perusahaan: Kuantum pinjaman maksimum bagi Pinjaman Perdagangan dinaikkan kepada $10 juta mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Mac 2023

  • Skim Pembiayaan Perusahaan: Kuantum pinjaman maksimum bagi Pinjaman Modal Bekerja SME dinaikkan kepada $500,000 mulai 1 Oktober 2022 hingga 31 Mac 2023




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >