Subuh
5:54
Syuruk
7:16
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Setempat0

DPPMS bekerja rapat pastikan majlis kahwin tidak langgar syarat Covid-19

Dec 03, 2020 | 05:30 AM

DEWAN Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sedang bekerja rapat dengan syarikat penyedia khidmat perkahwinan untuk memastikan mereka mematuhi Langkah Pengurusan Selamat (SMM) yang telah ditetapkan bagi majlis perkahwinan, sedang ia terus menerima maklum balas tentang syarikat yang melanggar langkah itu.

Bercakap kepada Berita Harian, penyedia khidmat perkahwinan berkata mereka ada menghadapi tekanan daripada bakal mempelai untuk menambah bilangan jemputan dan menyediakan sajian bufet.

Buat masa ini, SMM, yang bertujuan menyediakan sekitaran selamat bagi pengantin dan tetamu mereka semasa sambutan majlis perkahwinan dalam tempoh pandemik Covid-19, antara lain mengehadkan bilangan jemputan bagi keseluruhan acara ke 100, dan bufet layan sendiri tidak dibenarkan.

Persembahan secara langsung melibatkan nyanyian atau perbualan kuat tidak dibenarkan kerana dianggap sebagai kegiatan berisiko tinggi.

Langkah berjaga-jaga lain yang ditetapkan termasuk pengambilan suhu badan dan pendaftaran masuk menggunakan SafeEntry.

Di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara), pesalah kali pertama yang didapati melanggar SMM akan dikenakan denda hingga $10,000, penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya. Kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda hingga $20,000, penjara hingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

DPPMS berkata pihaknya telah bekerjasama dengan ahlinya untuk memastikan mereka sedar tentang SMM yang perlu dilaksanakan bagi majlis perkahwinan di lokasi selain kolong blok.

Ini termasuk menganjurkan latihan dalam dan luar talian serta menyediakan talian khusus untuk membantu perniagaan dan bakal mempelai dalam merancang majlis mereka, kata Timbalan Presiden DPPMS Encik Abu Bakar Mohd Nor.

"Menerusi saluran Dewan, DPPMS juga telah memberi nasihat dan bimbingan berkala kepada ahlinya berdasarkan maklumat daripada masyarakat," katanya.

Awal minggu ini, DPPMS mengeluarkan peringatan bagi semua syarikat penganjur acara dan khidmat perkahwinan agar terus mematuhi SMM dalam tempoh pandemik ini.

Peringatan tersebut dikeluarkan setelah ia menerima maklum balas berkaitan perniagaan yang melanggar peraturan tersebut.

Encik Abu Bakar berkata tindakan beberapa syarikat yang melanggar peraturan itu telah menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat dan kelakuan itu tidak adil kepada penyedia khidmat yang mematuhi peraturan.

Beliau menambah, DPPMS menasihatkan semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan dan bakal mempelai, agar merujuk kepada laman smcci.org.sg/wedding untuk semua maklumat berhubung perancangan majlis perkahwinan.

"Dewan komited untuk bekerja rapat dengan masyarakat bagi mencapai keseimbangan yang bijak dalam memastikan pembukaan semula industri secara progresif sambil turut mematuhi SMM pada setiap masa," kata Encik Abu Bakar.

Encik Sufandi Ahmad dari Wedding by LQ berkata penyedia khidmat perkahwinan harus berusaha mematuhi SMM sebaik mungkin supaya sektor itu dapat terus dibuka semula.

"Kita telah terjejas selama beberapa bulan dan kita tidak mampu untuk mengulanginya," kata beliau.

Bagi Cik Nur Diyana Abdul Razak yang berkahwin Oktober lalu, syarikat penyedia khidmat yang diambilnya telah menerangkan dengan jelas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa majlisnya.

"Beberapa tempahan seperti kompang perlu dibatalkan tetapi penyedia khidmat menawarkan alternatif dan ini membantu kami mengadakan majlis sesempurna mungkin," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map