DPPMS sedia bantu syarikat seni corak perniagaan mereka, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

DPPMS sedia bantu syarikat seni corak perniagaan mereka

Dec 16, 2020 | 05:30 AM

DEWAN Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Pusat Syarikat Kecil dan Sederhana (SME)@DPPMS sedia membantu syarikat seni tempatan mencorak arah tuju bisnes mereka dan memperkasa usaha niaga yang dibangunkan.

Keperluan menggembleng tenaga usahawan dan penggiat seni amat dirasakan sebagai satu inisiatif kemasyarakatan, lebih-lebih lagi tatkala melihat impak pandemik Covid-19 terhadap kegiatan seni yang banyak dibatalkan atau dialihkan ke format digital sejak Mac dan April lalu.

Kesediaan bekerjasama itu menjadi langkah selanjutnya yang diputuskan menyusuli sesi dialog Zoom antara DPPMS dan Pusat SME@DPPMS dengan tujuh kumpulan seni Singapura semalam.

Tujuh kumpulan yang terlibat terdiri daripada Orkes Sri Temasek, Variasi Performing Arts, Sriwana, Aras Theater, Artistari Gentari, Sri Warisan Performing Arts dan Panggung Digital.

Sesi tersebut diselaraskan Berita Harian sebagai susulan sesi dialog kumpulan seni bersama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, bulan lalu.

Halal Home Based Business
Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Antara yang diharapkan wakil kumpulan seni pada ketika itu adalah terjalinnya 'jambatan' kerjasama antara kumpulan seni dengan DPPMS.

DPPMS, jelas pengarah urusan Teater Ekamatra, Cik Nurul Shaza Ishak, diharapkan dapat membantu memberi panduan mengendalikan bisnes seni, pengurusan kewangan, memperluas bisnes, mempelbagaikan sumber pendapatan, mengumpul dana dan pemasaran.

Dalam sesi dialog semalam, penasihat perniagaan di Pusat SME@DPPMS, Cik Nur Nadhirah Nor Azhar, menjelaskan bahawa pihaknya bekerjasama dengan usahawan dan SME bagi membantu perniagaan mereka agar kekal relevan dan berdaya saing di sebalik landskap ekonomi sejagat yang mencabar.

Memberi pencerahan mengenai bentuk bantuan dan khidmat yang boleh ditawarkan kepada kumpulan seni, beliau berkata:

"Memandangkan bisnes yang kami bantu tidak terbatas pada sektor tertentu sahaja, kami mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan syarikat seni dalam mempertingkat serta memperkasa bisnes dan jenama mereka.

"Kami mengendalikan khidmat nasihat perniagaan secara khusus dan percuma buat sesebuah syarikat.

"Peningkatan (bisnes) berdasarkan kumpulan turut diusahakan di mana kami mengenal pasti cabaran serupa yang dihadapi beberapa kumpulan seni. Kami kemudian akan mengusulkan satu huraian buat semua di bawah projek khas naungan kami.

"Kami juga menganjurkan banyak bengkel setiap bulan dan seminar sekali atau dua kali setahun. Kami juga menjalankan penilaian diagnostik yang terperinci bagi menilai sejauh mana sesebuah syarikat ini bersedia mengembangkan sayap niaganya."

Pusat SME@DPPMS, tambahnya, juga boleh membantu dalam permohonan geran seperti Geran Huraian Produktiviti (PSG), Geran Pembangunan Perniagaan (EDG) dan Geran Bantuan Persediaan Pasaran (MRA).

Kesemua kumpulan seni yang menyertai sesi dialog semalam menghargai peluang dan potensi bekerjasama dengan Pusat SME@DPPMS di samping memanfaatkan khidmat yang ditawarkan.

Meskipun sudah bergerak lama dalam sektor seni, Presiden Sriwana, Cik Fauziah Hanom Yusuf, menghargai peluang mendapatkan panduan perniagaan agar jenama Sriwana kekal relevan bagi generasi mendatang.

Pengarah Artistik Artistari Gentari, Encik Badarudin Hassan pula prihatin tentang bantuan yang boleh diberi kepada syarikat seni baru agar tidak gulung tikar hanya setelah satu atau dua projek.

Pengasas Panggung Digital, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, pula menambah:

"Penggiat seni rata-rata hanya fokus pada urusan menghasilkan kerja seni tetapi biasanya pening memikirkan tentang pentadbiran dan kewangan.

"Kini, cabaran baru adalah memancing penonton kembali ke panggung teater selepas Fasa 3 bermula. Jualan tiket bagi acara pada Januari nampak perlahan. Nak buat program digital, ramai yang mula muak sebab terlalu banyak di media sosial.

"Saya berharap dengan kerjasama bersama DPPMS dan Pusat SME@DPPMS, kita dapat fikirkan cara membawa syarikat seni bergerak sebagai entiti niaga yang mampu bangkit semula selepas pasca Covid-19.

"Kami pun berharap dapat fikirkan cara menarik usahawan dan penaja korporat dalam menampung kegiatan seni kami."

Memberi jaminan pertemuan Zoom semalam akan membawa pada perbincangan susulan, pengurus kerjasama DPPMS, Encik Farehan Hussein, berharap dapat bertemu dengan kumpulan seni yang terlibat bagi memikirkan idea-idea kreatif bekerjasama di samping memajukan sektor seni bagi manfaat masyarakat.


“Memandangkan bisnes yang kami bantu tidak terbatas pada sektor tertentu sahaja, kami mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan syarikat seni dalam mempertingkat serta memperkasa bisnes dan jenama mereka. Kami mengendalikan khidmat nasihat perniagaan secara khusus dan percuma buat sesebuah syarikat. Peningkatan (bisnes) berdasarkan kumpulan turut diusahakan di mana kami mengenal pasti cabaran serupa yang dihadapi beberapa kumpulan seni. Kami kemudian akan mengusulkan satu huraian buat semua di bawah projek khas naungan kami.”
– Cik Nur Nadhirah Nor Azhar, penasihat perniagaan di Pusat SME@DPPMS
 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map