Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perancangan AKHIR HAYAT

Dr Norhisham: Masyarakat Melayu/Islam terbuka bincang soal akhir hayat

Oct 25, 2022 | 07:04 AM



PENGALAMAN lebih 10 tahun sebagai pakar penjagaan paliatif membawa pengertian lebih mendalam terhadap soal hidup dan mati kepada Dr Norhisham Main.



Bagi Dr Norhisham, kematian adalah satu hakikat dalam kehidupan yang perlu diterima setiap insan.



"Ini bermakna seseorang harus kekal sihat untuk menjalani kehidupan dengan baik - secara fizikal, mental atau rohani," ujar Dr Norhisham, Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Jagaan Sokongan dan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong.



Beliau terdorong mendalami bidang paliatif semasa bekerja di wad geriatik sebagai seorang doktor muda beberapa tahun lalu dan terkesan dengan cara konsultan memberi jagaan yang begitu baik kepada warga emas yang sakit tenat.



Mengenai konsep kematian dan penjagaan paliatif dalam masyarakat Melayu, Dr Norhisham berpendapat ramai warga senja tidak menganggap kematian sebagai tabu atau pantang.



"Ramai yang tinggal dalam suasana keluarga berbilang generasi apabila muda dan didedahkan kepada kematian. Mereka akur kematian tidak boleh dielak dan berharap untuk meninggal dunia dalam keadaan aman di rumah di sisi keluarga.



"Sebaliknya, generasi sekarang hidup dalam keluarga lebih kecil dan kurang didedahkan kepada kematian dan mungkin tidak selesa dengannya," ujar Dr Norhisham.



Secara amnya, beliau berkata masyarakat Melayu/Islam terbuka membincangkan tentang soal akhir hayat, terutama dengan adanya kepercayaan dan ajaran Islam mengenainya.



Lebih ramai keluarga kini yang meminta sokongan daripada penjagaan paliatif berbanding sebelum ini, disebabkan pendidikan awam dan terdapatnya maklumat di Internet, kata Dr Norhisham.



Namun, ada juga keluarga pesakit tenat yang prihatin jika penjagaan paliatif ialah satu petanda doktor sudah berputus asa terhadap pesakit.



"Mereka juga prihatin jika anggota keluarga lain atau rakan mereka juga fikir yang sama, iaitu mereka sudah putus asa terhadap pesakit.



"Satu lagi kebimbangan adalah doktor akan menghentikan semua rawatan lain walaupun ia dapat membantu pesakit," kata Dr Norhisham.



Tambahnya, ada pesakit Melayu/Islam dan keluarga mereka pula yang prihatin penjagaan paliatif tidak diterima dalam Islam kerana tanggapan salah bahawa penjagaan paliatif adalah berkenaan menghentikan rawatan atau tidak mendapatkan rawatan secara aktif.



Tanggapan salah yang lain adalah penjagaan paliatif hanya mengenai pemberian ubat morfin yang akan menyebabkan ketagihan; atau penjagaan paliatif itu bermakna membiarkan pesakit mati serupa dengan eutanasia; atau mengurangkan jangka hayat.



"Penjagaan paliatif bertujuan mengurangkan gejala menggunakan perubatan untuk meningkatkan keselesaan.



"Morfin digunakan untuk mengurangkan simptom seperti sakit atau sesak nafas, dan apabila digunakan dengan betul, ia tidak mengakibatkan ketagihan.



"Memilih penjagaan paliatif tidak bermakna semua rawatan dihentikan sedang pesakit terus dirawat bagi penyakit yang boleh dirawat.



"Ia tidak bermakna pesakit harus mengabaikan rawatan sedia ada yang berkesan untuk menerima penjagaan paliatif," ujar Dr Norhisham.



Katanya lagi, ada kajian yang menunjukkan penjagaan paliatif yang baik meniadakan keperluan bagi eutanasia, dan kajian lain menunjukkan pesakit yang menerima penjagaan paliatif hidup lebih baik dan lebih lama berbanding mereka yang tidak menerima penjagaan sedemikian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >