Dron yang tidak disahkan penerbangannya telah menyebabkan beberapa pesawat tergendala dan terjejas di Lapangan Terbang Changi malam semalam, beberapa hari selepas insiden sebelum itu yang telah menyebabkan sebanyak 37 pesawat tergendala.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa sekitar 15 pesawat yang baru ingin berlepas dan tiga yang ingin mendarat tergendala, tujuh pesawat lain diarahkan ke lain, disebabkan cuaca buruk dan aktiviti dron yang tidak disahkan.
“Kami mengambil langkah berjaga-jaga, dan pesawat yang mendarat dan berlepas telah diatur dengan teliti bagi tempoh masa pendek antara 8.07 hingga 9.07 malam,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan akhbar The Straits Times malam semalam, dron yang tidak mendapat pengesahan itu telah menyebabkan beberapa pesawat tergendala atau diarah ke tempat lain.
Pesawat yang terjejas termasuk Singapore Airlines, Garuda dan Air Asia.
Lebih dari satu dron dilihat, dan dron-dron tersebut dilaporkan bukan dron rekreasi.
CAAS sedang menyiasat perkara tersebut.