Dua adik PM Lee dakwa abangnya kelirukan mendiang bapanya tentang pewartaan rumah Oxley Road

KEDEDUA adik Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah memberikan respons mereka kepada kenyataan abangnya di Parlimen semalam berkenaan pertikaian mereka berhubung rumah di 38 Oxley Road.

Mereka mendakwa PM Lee telah mengelirukan bapa mereka, yang juga Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, berkenaan status rumah keluarga itu - bahawa pewartaan 38 Oxley Road "tidak dapat dielakkan" atau rumah tersebut sudah pun diwartakan.

Oleh kerana kekeliruan tersebut, Encik Lee, yang pada mulanya ingin merobohkan rumah tersebut, telah mempertimbangkan 'alternatif' lain, kata Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling.

Di Parlimen semalam, PM Lee telah mendedahkan bahawa mendinag Encik Lee telah meluluskan rancangan pengubahsuaian ke atas rumah Oxley Road itu.

Ini termasuk beberapa sudut rumah itu akan dirobohkan, manakala ruang makan di bawah akan dikekalkan kerana ia mempunyai kepentingan sejarah.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa walaupun Encik Lee ingin merobohkan rumah itu, beliau bersedia untuk mempertimbangkan pilihan lain, jika pemerintah memutuskan sebaliknya.

Adik-adik PM Lee mendakwa abang mereka ingin memelihara rumah itu untuk mendapatkan keuntungan politik, walaupun ia bercanggah dengan permintaan bapanya.

PM Lee telah menyangkal perkara tersebut.

Dalam pos Facebooknya pagi tadi, Encik Lee Hsien Yang menulis:

"Sejak 2010, LHL (Lee Hsien Loong) telah mengelirukan bapa kami LKY (Lee Kuan Yew) bahawa pewartaan 38 Oxley Road 'tidak dapat dielakkan' atau rumah itu sudah pun diwartakan.

"Sekarang kita tahu bahawa tiada keputusan yang telah dibuat."

Galeri Foto