Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS MENJELANG BULAN BAHASA: Telusur daya usaha perkasa BAHASA MELAYU

Dua beradik sentiasa cari peluang baru perkasa bahasa ibunda

Dengan Bulan Bahasa yang bakal dilancarkan hujung bulan ini, BERITA MINGGU meninjau pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini demi menanam rasa cinta dalam kalangan masyarakat terhadap bahasa itu selain melihat hasilnya terhadap penggunaan dan kemahiran bahasa Melayu di sini. Kami juga meninjau apakah antara cabaran yang mungkin dialami dalam terus memperkasa kemahiran bahasa Melayu dalam diri anak-anak muda di zaman serba canggih dan moden hari ini.
Aug 07, 2022 | 05:30 AM



KETIKA ramai pelajar seusia mereka kurang meminati atau fasih dalam bahasa Melayu, Allysha Asmadi dan adiknya, Almyra, pula sering mencari peluang-peluang baru yang dapat membantu mereka memperkasakan penguasaan bahasa ibunda mereka.



Sejak usia kecil lagi, mereka telah didedahkan kepada bahasa Melayu oleh kedua ibu bapa mereka - Encik Asmadi Mohamad 44 tahun, dan isteri, Dr Noor Eliza Suradi 40 tahun.



"Selain mendedahkan saya kepada pelbagai bentuk bacaan, mereka juga telah memberi saya peluang untuk mengenali lagu-lagu Melayu," kata pelajar Sekolah Rendah Perempuan Raffles (RGPS) berusia 10 tahun itu.



Penggunaan bahasa Melayu juga diutamakan ketika mereka berada di rumah.



Encik Asmadi berkata beliau dan isteri menitik beratkan komunikasi lisan dan pembacaan bersama anak-anak mereka seawal usia mereka setahun.



"Pada peringkat usia 0-6 tahun merupakan tempoh yang amat mudah bagi anak-anak meresap pengetahuan dan bahasa. Oleh itu kami mulakan dengan komunikasi lisan dan pembacaan fizikal bersama anak-anak.



"Kami mulakan dengan membaca buku-buku cerita Melayu dan memberi penekanan terhadap sebutan yang betul. Kami sering membawa mereka ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku Melayu," kata beliau.



Dengan pendedahan ini, Allysha dan Almyra secara tidak langsung juga akan mempelajari perkataan-perkataan dan istilah baru.



Menurut Allysha, beliau akan bertanya tentang penggunaan istilah yang beliau kurang pasti.



"Saya sering bertanya tentang perkataan-perkataan seerti atau berlawan untuk meluaskan penguasaan kosa kata saya. Selain itu, saya juga cuba menggunakan bahasa Melayu sekerap mungkin di sekolah bersama guru dan rakan-rakan," jelasnya.



Bagi Almyra pula kesempatan untuk menggunakan bahasa Melayu di rumah merupakan sesuatu yang dialu-alukannya.



"Di sekolah saya tidak mempunyai ramai rakan yang mengambil bahasa Melayu. OIeh itu, saya selalu menggunakan bahasa Melayu di rumah bersama ayah, ibu dan kakak saya.



"Ketika kakak saya membuat persiapan untuk menyertai sebarang pertandingan, saya juga belajar bersamanya," kata Almyra, tujuh tahun, yang juga pelajar RGPS.



Minat mendalam Allysha dan Almyra dalam bahasa Melayu juga telah menyaksikan mereka menyertai beberapa pertandingan bercerita dan membaca di peringkat kebangsaan.



Mereka menyertai pertandingan ini bagi mencabar bakat bercerita dan penyampaian mereka dalam bahasa Melayu.



Allysha telah dinobat sebagai juara dalam pertandingan bercerita yang dianjurkan Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA), sementara Almyra turut berjaya meraih tempat pertama dalam Peraduan Bercerita Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) tahun lalu.



Selain bercerita, kedua-dua beradik ini juga mempunyai bakat dalam penulisan cerpen.



Selepas melancarkan buku pertamanya yang berjudul 'The Miracle Healer', Allysha kini dalam proses menulis buku bergambar keduanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.



The Miracle Healer' menceritakan kisah dua wanita, Crystal, yang mempunyai keupayaan menyembuhkan manusia dan haiwan dengan biola dan suaranya, dan Alena, yang cemburu dengan kelebihan Crystal sehingga dia sanggup mencuri biola itu agar dapat memiliki keupayaan tersebut.



Buku keduanya pula mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi oleh seorang gadis yang dilahirkan dengan keperluan khas.



Mengongsi tentang cabaran yang dihadapi untuk menulis sebuah buku, Allysha yang telah dilantik sebagai Rakan Bahasa tahun ini berkata:



"Antara cabaran yang saya hadapi untuk menghasilkan buku kanak-kanak saya ialah saya terpaksa mengurangkan jumlah perkataan. Ia amat sukar bagi saya untuk menyampaikan jalan cerita dengan jumlah perkataan yang terbatas.



"Sebenarnya cerita asli ini melebihi 2000 perkataan. Oleh kerana kumpulan sasaran saya ialah kanak-kanak, saya terpaksa memilih perkataan-perkataan yang sesuai bagi peringkat umur tersebut.



"Oleh kerana cerita ini ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, saya juga harus menyesuaikan susunan ayat (dalam bahasa Melayu dan Inggeris) agar tidak menjejas mesej yang ingin disampaikan.



"Selain itu, saya juga harus menyampaikan mesej saya melalui ilustrasi yang sesuai. Ilustrasi ini dapat membantu saya menyampaikan mesej cerita (menggantikan jumlah perkataan-perkataan yang terpaksa dipotong)."



Diminta memberi panduan kepada rakan-rakan lain bagaimana mereka juga dapat menguasai serta meminati bahasa Melayu, Allysha dan Almyra berkata mereka tidak perlu berasa malu atau kekok meskipun tidak biasa menggunakannya.



Malah mereka juga menasihatkan agar rakan-rakan mereka terus membaca buku-buku dan akhbar bahasa Melayu.



"Rakan-rakan tidak boleh berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Jangan takut untuk bertanya sebarang soalan jika rakan-rakan tidak tahu apakah perkataan yang ingin dikatakan dalam bahasa Melayu," kata Almyra.



Ibu bapa juga mempunyai peranan yang boleh dimainkan dalam membantu anak-anak mereka menguasai penggunaan bahasa Melayu, terutama di rumah.



Dr Noor Eliza berkata beliau dan suami sering meluangkan masa bersama anak-anak mereka dengan menonton berita dan rancangan Melayu dan bermain permainan Sahiba atau Pictionary.



"Kami juga menekankan aspek sebutan yang betul agar anak-anak lebih yakin bertutur dalam bahasa Melayu. Selain membawa mereka menonton persembahan dalam Bahasa Melayu, kami juga menggalakkan mereka mengetahui lagu-lagu Melayu kerana kedua-dua meminati seni muzik," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >