SEORANG lelaki dan seorang wanita, kededuanya berusia 23 tahun, telah diberkas berhubung satu siri kes kecurian di kedai sekitar Orchard Road.
Polis berkata, pihaknya telah menerima aduan dari beberapa kedai di Orchard Road mengenai bebera kes kecurian melibatkan barangan seperti dompet berjenama dan cermin mata.
Namun menyusuli siasatan lanjut, para pegawai Pusat Polis Kejiranan Orchard berjaya mengenalpasti kededua suspek itu.
Mereka ditangkap di sebuah unit perumahan di Fajar Road semalam.
Polis berkata, beberapa cermin mata mewah bernilai lebih $1,500 turut ditemui dalam operasi tersebut.
Siasatan awal mendapati kededua suspek itu mungkin terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes kecurian di kedai.
Mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah esok, dan jika sabit kesalahan, kededua suspek menghadapi hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.