Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Dua generasi bahagia jadi ibu bapa titipan

Berita Harian (BH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengadakan 'Seminar Skim Keluarga Titipan' pada 22 September lalu. Diadakan buat julung-julung kalinya, acara itu bertujuan memupuk kesedaran mengenai Skim Keluarga Titipan kendalian MSF, yang memberi perlindungan kepada anak-anak yang telah didera, diabaikan atau ditinggalkan. Sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang skim itu, BH memaparkan kisah beberapa ibu bapa titipan yang membuka rumah dan kehidupan mereka untuk membela nasib anak-anak ini.
Sep 26, 2019 | 05:30 AM

JIKA selama ini Encik Suhairi Rusidin, 60 tahun, dan Cik Normahbi Awaludin, 59 tahun, memainkan peranan sebagai ibu bapa titipan, kini mereka turut mendapat gelaran 'datuk dan nenek titipan'.

Ini setelah salah seorang anak kandung mereka, Cik Siti Lizawati Suhairi, 37 tahun, dan suaminya mengambil keputusan untuk menyertai Skim Keluarga Titipan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), sejak empat bulan lalu.

Ini bermakna dua generasi keluarga Encik Suhairi dan Cik Normahbi yang menyumbang bakti sebagai ibu bapa titipan.

Cik Normahbi berkata empat anak kandungnya, termasuk Cik Liza, telah membesar dengan adik-beradik titipan sejak keluarga mereka menyertai skim tersebut hampir 15 tahun lalu.

"Anak kandung kami anggap anak titipan itu seperti adik-beradik mereka sendiri. Selama ini, mereka juga beri sokongan kuat kepada kami," ujar Cik Normahbi, yang mengendali perniagaan katering secara kecil-kecilan bersama suaminya.

Pasangan itu kini masih menjaga seramai empat anak titipan yang berusia antara dua tahun hingga 15 tahun.

Anak Cik Normahbi yang sulung, Cik Liza, yang belum dikurniakan cahaya mata sendiri, kini menjaga seorang anak titipan berusia tiga tahun.

Malah, Cik Normahbi dan Encik Suhairi juga menyingsing lengan dengan membantu Cik Liza mengambil 'cucu titipan' mereka dari tajaka, misalnya.

Sementara menunggu Cik Liza, seorang pegawai bank, dan suaminya pulang dari kerja, anak titipan mereka itu kerap meluangkan masa bersama Cik Normahbi dan Encik Suhairi.

Oleh itu, anak titipan Cik Liza menggelar Encik Suhairi dan Cik Normahbi 'Yayi' dan 'Nyai', dan kini sama-sama membesar dengan anak titipan lain serta tiga cucu kandung pasangan itu.

Selain mempengaruhi anak mereka sendiri untuk menyertai skim MSF itu, pasangan ibu bapa titipan 'veteran' itu pernah menarik seorang lagi pasangan, yang merupakan rakan mereka, ke dalam skim itu.

Encik Suhairi dan Cik Normahbi sendiri diperkenalkan kepada skim itu menerusi adik Cik Normahbi sekitar 15 tahun lalu. Adiknya juga kekal menjadi seorang ibu titipan hingga sekarang.

Waktu itu, mereka tergerak untuk mengambil anak titipan setelah anak-anak kandung mereka sendiri sudah dewasa dan rumah mereka kian terasa sunyi.

Namun, Encik Suhairi berkata beliau akan berterus terang kepada sesiapa sahaja yang berminat menyertai skim itu mengenai cabaran mengasuh anak titipan.

"Kami perlu faham latar belakang anak titipan ini. Perlu banyak bersabar, dan bersedia dari segi mental.

"Walaupun kami tetap menjaga mereka seperti anak sendiri, caranya berbeza sikit. Contohnya, kami tidak boleh terlalu kasar," ujar Encik Suhairi.

Kanak-kanak diletakkan dalam skim titipan MSF atas pelbagai sebab, antaranya mereka telah mengalami penderaan, diabaikan, atau ibu bapa mereka tidak boleh menjaga mereka kerana berada di penjara, menghadapi penyakit fizikal atau mental, atau sudah meninggal dunia.

Encik Suhairi melahirkan harapannya melihat kanak-kanak itu membesar menjadi insan yang berjaya.

"Saya tidak mahu melihat mereka gagal. Kalau saya masih hidup dan dapat melihat mereka dapat pekerjaan baik, syukur Alhamdulillah," kata Encik Suhairi.

Bagi Cik Normahbi, yang semasa kecil dibesarkan oleh datuk dan neneknya, beliau dapat memahami perasaan anak-anak itu yang tidak dijaga oleh ibu bapa kandung mereka.

"Saya curahkan kasih sayang kepada mereka, seperti mana saya mendapat kasih sayang daripada nenek yang menjaga saya macam anaknya sendiri," ujar Cik Normahbi.


"Kami perlu faham latar belakang anak titipan ini. Perlu banyak bersabar, dan bersedia dari segi mental. Walaupun kami tetap menjaga mereka seperti anak sendiri, caranya berbeza sikit. Contohnya, kami tidak boleh terlalu kasar.''

- Encik Suhairi Rusidin.

"Saya curahkan kasih sayang kepada mereka, seperti mana saya mendapat kasih sayang daripada nenek yang menjaga saya macam anaknya sendiri.''

- Cik Normahbi Awaludin.


SESI PERKONGSIAN MENGENAI SKIM KELUARGA TITIPAN MSF

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menganjurkan satu sesi perkongsian mengenai Skim Keluarga Titipan.

Peserta akan berpeluang untuk mendengar secara peribadi pengalaman pasangan ibu bapa titipan.

TARIKH: 5 Oktober 2019, Sabtu

MASA: 10 pagi hingga 12 tengah hari

TEMPAT: Kelab Masyarakat Clementi, Bilik Seminar, #01-10, 220 Clementi Avenue 4 Singapura 129880

DAFTAR: Hubungi MSF di 6354-8799, WhatsApp di 9645-8231 atau e-mel ke fostering@msf.gov.sg, sebelum 3 Oktober.

Lungsuri laman www.msf.gov.sg/fostering untuk maklumat lanjut.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian