Subuh
5:47
Syuruk
7:04
Zuhur
1:09
Asar
4:17
Maghrib
7:12
Isyak
8:21
Setempat

Dua kesalahan baru diperkenal demi cegah pemandu tidak bertanggungjawab

Kesalahan pandu secara bahaya dan cuai diperkenal selaras rancangan kenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan lebih serius

Feb 22, 2019 | 05:30 AM

DUA jenis jenayah jalan raya baru - memandu dengan bahaya dan memandu dengan cuai - telah diperkenalkan untuk menghalang pengguna jalan raya berkelakuan tidak bertanggungjawab.

Ini selaras dengan rancangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan lebih serius - di mana pemandu bertindak teramat buruk dan menyebabkan kecederaan serius seperti dalam kes memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam kenyataannya semalam, MHA berkata ia akan memperkukuh hukuman dan menaikkan saman bagi kesalahan itu tersebut, lapor The Straits Times.

Kesalahan memandu dengan bahaya akan dibezakan daripada memandu secara cuai berdasarkan cara memandu, seperti sama ada seseorang itu sedang memandu dengan teramat laju atau mendekatkan kenderaannya dengan kenderaan lain, kata MHA.

Faktor lain yang akan diambil kira ialah sama ada seorang pemandu itu kurang tidur dan mengantuk semasa memandu, atau tidak berada dalam keadaan yang membenarkannya memandu dengan selamat.

Pemandu juga akan dinilai sama ada mereka bertindak dengan lebih berhati-hati.

Kededua kesalahan di bawah Akta Trafik Jalan Raya itu selaras dengan kesalahan perbuatan terburu-buru dan perbuatan cuai di bahawa Kanun Jenayah.

Setiap kesalahan baru akan merangkumi empat peringkat hukuman yang selari dengan tahap kecederaan - menyebabkan kematian, kecederaan teruk, kecederaan, dan membahayakan nyawa.

Perubahan ini bermakna sesiapa yang didapati bersalah memandu secara bahaya boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh maksimum lapan tahun bagi kesalahan pertama, berbanding penjara lima tahun bagi kesalahan serupa sebelum ini.

Pesalah juga akan dikenakan tempoh penjara minimum setahun jika menyebabkan kematian atau kecederaan teruk.

Mahkamah juga boleh melarang pesalah daripada memandu selama sekurang-kurangnya lapan tahun.

Hukuman penjara akan diganda bagi pesalah berulang.

Bagi kesalahan memandu dengan cuai, pesalah kali pertama boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, dengan hukuman diganda bagi pesalah berulang.

Ini berbanding tempoh hukuman penjara enam bulan bagi pesalah kali pertama.

"Sebab mengenakan hukuman lebih keras ini adalah pemandu, yang mengawal kenderaan yang diketahui boleh membahayakan pengguna jalan raya lain, perlu bertindak dengan lebih prihatin dan bertanggungjawab," kata MHA.

Pesalah yang didapati memandu semasa mabuk atau mengambil dadah semasa melakukan kesalahan akan dikenakan hukuman tambahan.

Bermula 1 April, MHA juga akan menaikkan saman bagi kesalahan di jalan raya yang melibatkan pemandu dan penunggang motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal.

Tindakan ini diambil untuk mencegah perbuatan kurang bertanggungjawab di jalan raya, berlatar jumlah maklum balas yang meningkat berhubung kes sebegitu kebelakangan ini.