DUA lagi kelompok baru jangkitan Covid-19 melibatkan dormitori pekerja asing dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH).
Dalam kenyataannya pada Khamis malam (3 September), MOH menjelaskan bahawa 14 kes yang dikesan sebelum ini didapati berkait dan membentuk kelompok baru di Cochrane Lodge II (49 Admiralty Road West).
Lapan kes yang baru dikesan pula berkait dengan 10 kes sebelum ini lantas membentuk kelompok baru di dormitori Westlite Toh Guan (18 Toh Guan Road East).
Daripada 48 kes baru yang dikesan sehingga 12 tengah hari Khamis (3 September), 41 daripadanya merupakan penghuni dormitori. 21 daripada mereka telah dikenal pasti positif Covid-19 sewaktu dikuarantin kerana berkait dengan kes sebelum ini.
Dalam pada itu, MOH juga mendedahkan bahawa dua kes baru masyarakat terdiri daripada seorang pemegang permit kerja dan Penduduk Tetap (PR) didapati tiada kaitan dengan kes sebelum ini.
Mereka dikesan hasil pemantauan proaktif dan pemeriksaan yang dibuat walaupun pesakit tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.
Selain Pasar dan Pusat Makanan Geylang Senarai, pasar raya FairPrice di Joo Chiat Complex serta Raimah Eating House di 56 Jalan Kembangan turut disenaraikan sebagai antara tempat yang dikunjungi kes Covid-19.
137 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. 52 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.