DUA lagi lelaki daripada lapan orang yang ditangkap berikutan pergaduhan di Orchard Towers akan dihadapkan ke mahkamah hari ini dengan tuduhan bunuh dengan niat bersama.
Ini bermakna jumlah orang yang dikenakan tuduhan serupa ialah tujuh - enam lelaki berusia antara 22 dengan 27 tahun, dan seorang wanita berusia 22 tahun, kata polis.
Mereka adalah Tan Sen Yang, 27 tahun, Joel Tan Yun Sheng, 26 tahun, Chan Jia Xing, 26 tahun, Ang Da Yuan, 26 tahun, Natalie Siow Yu Zhen, 22 tahun, Loo Boon Chong, 25 tahun, dan Tan Hong Seng, 22 tahun.
Jika disabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman mati.
Pergaduhan yang dipercayai bermula dalam Naughty Girl Club di tingkat dua Orchard Towers itu berakhir dengan kematian seorang lelaki berusia 31 tahun.
Difahamkan, mangsa ialah Encik Satheesh Noel yang mempunyai seorang isteri dan anak perempuan berusia lima tahun.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, seorang bekas rakan setugas Encik Satheesh, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Alep, berkata:
"Setelah dia tinggalkan syarikat, kita tak banyak berbual tapi saya dapat tahu dia dah berkahwin dan mempunyai anak perempuan berusia lima tahun.
"Bila saya dengar tentang berita pembunuhan itu, saya tak tahu dia (mangsa) sehinggalah saya diberitahu kawan-kawan lain. Saya sangat sedih dan berduka bagi keluarganya."
Difahamkan bahawa Encik Satheesh merupakan pelanggan tetap di Naughty Girl Club.