DUA latihan keselamatan maritim peringkat tinggi melibatkan berbilang agensi telah diadakan baru-baru ini untuk memastikan Singapura kekal bersedia menangani serangan pengganasan semasa pandemik koronavirus ini.
Namun disebabkan sekatan Covid-19 yang tidak membenarkan perhimpunan kumpulan besar, agensi-agensi tersebut menyelaraskan latihan tersebut dengan menggunakan alat persidangan video, lapor The Straits Times (ST).
Latihan pertama, Exercise Highcrest, diadakan pada 26 Oktober hingga 30 Oktober. Ia merupakan simulasi serangan terhadap prasarana penting di persisiran pantai Singapura.
Kakitangan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kastam Singapura dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah bekerjasama untuk menangani ancaman tersebut.
Mereka juga mengadakan latihan menangani keadaan selepas serangan termasuk menguruskan lalu lintas maritim, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataannya pada Selasa (3 Nov)
Latihan kedua, Exercise Apex, pula bermula sejak Isnin (2 Nov) dan tamat pada Rabu (4 Nov).
Dalam latihan tersebut, pegawai Pasukan Bertindak Keselamatan Maritim, Pasukan Bertindak Operasi Khas, kakitangan Kumpulan Pertahanan Radiologi dan Letupan, kapal misi litoral RSS Unity, beberapa helikopter Super Puma dan kenderaan udara tanpa pilot, Heron 1, telah dikerah untuk menawan semula sebuah kapal perdagangan yang dirampas pengganas.