Dua lelaki ditangkap, cuba masuk ke S'pura secara haram

DUA lelaki, dari Bangladesh dan Malaysia, ditangkap semalam (Isnin, 25 Mac) kerana cuba memasuki Singapura secara haram.

Dalam satu sidang media yang diadakan petang tadi (26 Mac), Polis Pengawal Pantai (PCG) berkata warga  Bangladesh berusia 20 tahun dan warga Malaysia berusia 46 tahun itu ditangkap sekitar 7.40 malam dalam operasi yang dijalankan bersama oleh PCG dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). 

Mereka telah memasuki perairan Singapura dengan menaiki bot tidak bernombor berhampiran Punggol West.

Rakaman video menunjukkan seorang lelaki terjun dari bot tersebut lalu berenang ke pantai di Punggol West,  sementara seorang lagi memusingkan bot menghala ke perairan terbuka.

Pegawai PCG memberi amaran lisan dan tatapan, termasuk menyalakan suar,  tetapi ia tidak diendahkan pemandu bot itu.

Pegawai Skuadron Tugas Khas (STS) PCG kemudian memintas bot tersebut dan berjaya memberkas warga Malaysia yang sedang memandunya.

Wang bernilai RM3,734 ($1,240) dan dua telefon bimbit turut dirampas.

Siasatan awal menunjukkan warga Malaysia itu telah mengambil lelaki Bangladesh tersebut dari  pantai di Johor Bahru, Malaysia. 

Kedua-dua lelaki tersebut ditangkap atas kesalahan memasuki Singapura secara haram di bawah Akta Imigresen, Bab 133.

Mereka akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Komander PCG, Penolong Pesuruhjaya Kanan Cheang Keng Keong berkata:

“PCG tidak akan bertolak ansur mengenai sebarang kegiatan haram di perairan Singapura. PCG akan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi mempertahankan keselamatan perairan dan sempadan laut kita daripada sebarang jenayah serta ancaman keselamatan, termasuk percubaan memasuki atau keluar dari Singapura secara haram.”