Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

COVID-19 DI SINGAPURA

Dua masjid ditutup dek Covid-19, jemaah faham solat Jumaat dibatalkan

Oct 02, 2021 | 05:30 AM



DUA masjid ditutup semalam bagi kerja pembasmian kuman dan pembersihan ekoran kes Covid-19 dikesan di situ.



Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Tiong Bahru ditutup dari zuhur hingga isyak dan Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North ditutup dari asar hingga isyak, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Kedua-dua masjid itu, yang masing-masing dikesan satu kes positif Covid-19, akan dibuka semula pada subuh hari ini, kata Muis dalam satu pos di Facebook.



Sebanyak empat masjid ditutup minggu ini disebabkan kes positif virus itu.



Dua lagi ialah Masjid Alkaff Upper Serangoon, yang ditutup kelmarin dan dibuka semula semalam, dan Masjid Mujahidin, yang ditutup pada Selasa lalu dan dibuka semula pada Rabu.



Ketika Berita Harian mengunjungi Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, yang semua sesi solat Jumaatnya semalam dibatalkan ekoran kes Covid-19 itu, pegawai masjid kelihatan memberi nasihat kepada sekitar 20 jemaah secara berasingan supaya menempah slot solat Jumaat di masjid lain yang berdekatan.



Mereka turut diberi penjelasan mengenai penutupan masjid itu.



Beberapa jemaah yang ditemui berkata mereka telah menempah tempat solat Jumaat di masjid berdekatan, namun kebanyakan memutuskan pulang ke rumah atau balik ke tempat kerja setelah diberitahu tentang penutupan itu.



Antara jemaah terjejas ialah Encik Zul Sukor, yang sedang menggunakan telefon bimbit untuk memeriksa slot solat Jumaat yang masih tersedia di masjid lain.



Masjid Jamiyah Ar-Rabitah berupaya menampung 250 jemaah pada setiap daripada tiga sesi solat jemaahnya.



Encik Zul, 58 tahun, yang bekerja dekat kawasan itu di Leng Kee sebagai pemandu, berkata:



"Kami diberitahu masjid ditutup sebab ia perlu dibersih sejak pagi tadi (semalam). Jadi mereka (pegawai masjid) menasihati kami menempah slot solat Jumaat di masjid lain."



Beliau akhirnya mendapat tempat di Masjid Jamek Queenstown.



Seorang lagi jemaah, Encik Yusari Hamdan, 54 tahun, memutuskan pulang ke tempat kerjanya di Orchard Road kerana tempahannya pada 12.30 tengah hari adalah pada waktu makan tengah harinya.



Encik Yusari, seorang pegawai penyenggaraan bangunan, menjelaskan beliau tidak tahu masjid itu ditutup kerana notis penutupannya dihantar ke alamat e-mel yang digunakannya semasa membuat tempahan slot solat itu.



"Selalunya masjid ini memang ada slot jadi saya tempah di sini. Tapi saya gunakan e-mel kerja jadi saya tak dapat notis itu dalam telefon bimbit saya," ujarnya.



Rata-rata jemaah memahami keadaan apabila dijelaskan tentang penutupan masjid itu, menurut beberapa pegawai Masjid Jamiyah.



Muis dalam pos Facebook berkata, semua tempahan solat Jumaat dibatalkan secara automatik demi memastikan penularan penyakit itu dapat dikawal.



Ia menambah bahawa lebih 6,000 baki slot solat Jumaat di keempat-empat kelompok masjid masih tersedia hingga 10 pagi semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >