DUA pegawai polis tambahan telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu atas kegiatan dan rancangan mereka yang menyokong pengganasan dan radikalisme.
Muhammad Khairul Mohamed, 24 tahun, seorang pegawai polis trafik tambahan tanpa senjata dengan AETOS dikenakan Arahan Tahanan (OD) kerana dianggap mengancam keselamatan negara.
Semasa ditangkap, Khairul melahirkan minat untuk menyertai kumpulan militan dan berjuang di Syria.
Rakan sekerjanya, Mohamad Rizal Wahid, 36 tahun, pula dikenakan Arahan Sekatan (RO) kerana menyokong rancangan Khairul untuk berjuang dengan kumpulan militan di Syria, tetapi tidak berniat menyertainya di sana.
Rizal kini dibebaskan, tetapi pergerakannya dikawal dan beliau perlu mendapat kebenaran pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) untuk berpindah rumah, bertukar kerja atau pergi ke luar negeri.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini.
Menurut MHA, Khairul mula menjadi radikal sejak 2012, apabila dia mengumpul maklumat tentang konflik di Syria dalam talian.
Khairul yakin bahawa konflik di Syria adalah pergelutan antara kaum Sunni dengan kaum Syiah dan berhasrat menyertai Tentera Bebas Syria (FSA) untuk menentang kaum Syiah.
Pada 2014, Khairul cuba menghubungi seorang militan dan dua lagi penyokong FSA menerusi Facebook, untuk mendapat tahu bagaimana beliau boleh ke Syria.
Khairul bersedia 'mati syahid' dalam konflik yang dianggapnya sebagai 'jihad' atau peperangan suci itu, kata MHA.
Walau sedar tentang rancangan Khairul sejak 2015, Rizal bukan sahaja gagal melaporkan rancangan rakannya itu kepada pihak berkuasa atau pengurusan AETOS, malah memberinya beberapa cadangan berkenaan cara hendak ke Syria.
"Sebagai seorang pegawai polis auksiliari, dia (Rizal) sepatutnya lebih sedar tentang ancaman pengganasan masa ini dan kegagalannya untuk melarang Khairul atau melaporkannya kepada pegawai atasan adalah satu kesilapan penilaian yang serius," kata MHA.
MHA juga menekankan keperluan untuk saudara-mara dan rakan melaporkan seseorang yang disyaki menjadi radikal kepada pihak berkuasa.
Bahkan, kata MHA, beberapa saudara-mara dan rakan Khairul sedar akan niatnya berjuang di Syria, tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, seorang wanita Singapura Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, 22 tahun, ditahan di bawah ISA bulan ini, kerana menjadi radikal sendiri.