DUA lelaki didakwa di mahkamah pada Rabu (18 Nov) menganjurkan dan mempromosikan perlumbaan basikal haram tanpa kelulusan dan permit polis.
Pemilik kedai basikal Eric Khoo Shui Yan, 29 tahun, dan pengurus projek Zulkifli Awab, 39 tahun, didakwa menganjurkan lapan edisi perlumbaan itu di pelbagai lokasi di Singapura.
Dinamakan HolyCrit, perlumbaan itu dianjurkan kali pertama di sini pada September 2013. Edisi terakhir perlumbaan tersebut diadakan November tahun lalu, dan dua lelaki itu ditahan menyusulinya.
Dalam perlumbaan itu penunggang basikal berlumba pada kelajuan lebih 40 kilometer sejam tanpa brek.
Dokumen mahkamah mengenal pasti Khoo sebagai penganjur utama dan Zulkifli penganjur bersama perlumbaan itu.
Tiada pengakuan diambil dan kedua-duanya akan kembali ke mahkamah pada Disember untuk sidang praperbicaraan.
Mereka dibebas dengan ikat jamin $ 5,000.
Setiap daripada mereka menghadapi 16 tuduhan - lapan mempromosikan perlumbaan itu tanpa kelulusan polis dan lapan menganjurkan perlumbaan tanpa permit polis.
Jika didapati bersalah mempromosi perlumbaan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda hingga $2,000.
Bagi menganjurkan perlumbaan itu, mereka boleh dikenakan denda hingga $ 1,000 atau penjara hingga tiga bulan bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, jumlah denda dan tempoh penjara berganda.