Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Dua pesakit kongsi pengalaman atasi masalah hernia

Jan 05, 2023 | 05:30 AM



SATU kemalangan ngeri menyebabkan Encik Saleem Bathusa Abdul Rahim mengalami kecederaan parah di perutnya selepas tubuhnya digilis tayar traknya sendiri pada 2013.



Duda tiga anak itu kemudian terpaksa menjalani pelbagai pembedahan di Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas kemalangan itu sehingga beliau mengalami masalah hernia atau angin pasang - sejenis tonjolan lebihan tisu badan ke permukaan kulit melalui rongga atau liang.



Akibatnya beliau kehilangan sebahagian besar otot perutnya, dengan hanya kulit yang kekal menyelaputi perutnya itu.



Hernia disebabkan otot yang lemah atau koyak, menyebabkan tonjolan di bawah kulit.



Punca sebenar hernia kurang jelas, namun ia biasanya bermula dengan tekanan pada satu organ atau usus yang berlaku di kawasan yang sama dengan otot atau tisu yang lemah.



Ini boleh disebabkan oleh genetik, atau berlaku menyusuli penuaan di mana otot semakin lemah atau kurangnya kolagen.



Menceritakan pengalamannya itu, Encik Saleem yang ketika itu bekerja di sebuah syarikat berkata beliau sedang menghidupkan enjin trak yang sepatutnya dipandu beliau apabila trak tersebut bergerak dengan sendiri menyebabkannya terjatuh dan bahagian perutnya digilis tayar depan.



"Saya tidak sempat mengelak apabila melihat tayar trak yang padat dengan barangan sudah berada di atas tubuh saya.



"Selepas itu saya pengsan dan dibawa ke hospital," ujarnya.



Dalam tempoh beberapa bulan beliau terpaksa menjalani banyak pembedahan - dianggarnya sekitar 30 pembedahan - sebagai sebahagian rawatannya itu.



"Pada masa itu saya diberitahu yang saya hidapi hernia juga, tapi saya tidak begitu sedar bila saya dibedah bagi masalah itu.



"Tahu-tahu sahaja doktor telah menjalankan pembedahan ke atas saya.



"Mujur selepas itu saya diberitahu sepasukan pakar terdiri daripada pakar bedah dan radiologi menjalankan pembedahan bagi membaiki otot yang hilang daripada perut saya, " jelasnya.



Beliau menambah kini perutnya berasa "ketat" sedikit, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk melibatkan diri dalam kegiatan kegemarannya - bermain bola sepak.



Ini kerana beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas pembedahan berbilang yang dilaluinya antara awal Julai 2013 hingga Februari 2014 itu.



Encik Saleem yang kini bekerja sebagai pemandu teksi berkata beliau menjalani kehidupan seperti biasa.



Beliau yang mengakui dirinya masih merokok namun tidak kerap, tidak mengalami sebarang masalah kronik dan terus "makan seperti biasa".



"Saya anggap apa yang saya lalui bak satu keajaiban dan kesedaran juga.



"Bayangkan saya lihat tayar trak naik ke dada, dan melintasi hampir mengena kepala saya," katanya.



Seorang lagi pesakit hernia, Cik Rosnah Awang, 65 tahun pula pada awalnya tidak begitu tahu makna angin pasang apabila melihat tonjolan di bahagian kiri dekat perutnya, dan menyangka ia akan hilang begitu sahaja.



Tonjolan itu yang mula sebesar sebiji bola golf kemudian membesar seperti saiz sebiji bola tenis.



Beliau kemudian membuat penyelidikan di Internet yang kemudian mengesahkan masalahnya itu sebagai hernia.



"Saya alaminya selepas menjalani pembedahan bagi masalah hempedu pada awal tahun lalu.



"Dalam tempoh dua bulan selepas pembedahan hempedu itu, tonjolan tersebut timbul.



"Dan selepas diperiksa doktor, saya disaran menjalani pembedahan ke atas hernia itu," katanya yang kemudian menjalani pembedahan tersebut pada Oktober lalu.



Menurut doktor, hernia yang dialami Cik Rosnah berlaku apabila pembedahan pada dinding perut tidak tutup atau pulih rapi, melemahkan otot perutnya dan membenarkan tisu serta organ untuk menonjol dan membentuk hernia.



Cik Rosnah yang bersara daripada bidang pentadbiran berkata beliau kini mengalami masalah kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol yang tinggi, terus memantau kesihatannya menerusi diet dan gaya hidup.



Justeru beliau sering amalkan pemakanan sihat - terutamanya mengurangkan pengambilan gula.



Beliau yang tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas pembedahan hernia, kini dapat berpuasa seperti biasa, dan telah kurangkan sekitar lima hingga tujuh kilogram berat badannya selepas pembedahan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >