Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WARGA BERBAKTI

Dua sekawan khidmat penjara 'kemaruk' berlari - Demi tingkat kesedaran cabaran pemulihan dilalui tahanan

Sertai acara Larian Maya Reben Kuning 2021 sejauh 60km, malah tambah lagi 15km sempena sambutan ulang tahun ke-75 SPS
Sep 22, 2021 | 05:30 AM



PEGAWAI Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Ketua Wadar (CW) Amir Hamzah Abdul Razak dan Pegawai Pemulihan (RO) Mustafa Kamal Fasalul Rahman merupakan dua teman sekerja rapat yang kemaruk dengan kegiatan berlari.



Sejak lapan tahun lalu, kededua bapa tiga anak itu kerap mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan seperti Sundown Ultra selain turut aktif menganjurkan acara berlari bagi teman-teman kerja lain dalam usaha mengekalkan gaya hidup sihat terutamanya dalam pekerjaan yang mencabar kecerdasan mental dan fizikal mereka itu.



Baru-baru ini, mereka telah menyertai acara Larian Maya Reben Kuning (YRVR) 2021 sejauh 60 kilometer untuk menyumbang dalam usaha pengumpulan dana pertubuhan tersebut, namun telah menambah larian lagi sejauh 15 kilometer sempena sambutan ulang tahun ke-75 SPS tahun ini.



Kedua-dua pegawai berpengalaman 14 tahun itu juga telah merancang laluan larian sepanjang 75 kilometer berbentuk reben kuning itu dengan melawati 20 penjara dan bekas tapak penjara lama di serata Singapura bagi mengimbas semula sejarah SPS.



Menurut CW Amir, 37 tahun, mereka membabitkan diri mereka dalam acara itu kerana mereka ingin meningkat kesedaran akan cabaran kehidupan banduan dalam penjara ke arah pemulihan.



"Larian Reben Kuning ini adalah untuk mengingatkan diri kami terhadap cabaran yang dilalui banduan sedang mereka menuju ke arah pemulihan," kata CW Amir.



"Misalnya, apabila kami mula berlari, rasanya perjalanannya jauh sekali... sama seperti tempoh awal menjalani hukuman penjara. Namun kemudian di pertengahan jalan, kami mula menerima bantuan; dari segi pendidikan, kaunseling dan peluang memanfaatkan diri atau membuat kawan baru di penjara," tambah beliau.



"Namun pada hujung perjalanan itu ada lagi cabaran lain iaitu mereka perlu bersiap sedia menghadapi realiti kembali ke pangkuan masyarakat," sambung RO Mustafa.



Memberikan perincian, mereka telah memulakan larian berkenaan dari kawasan Penjara Portsdown pada waktu malam, kemudian ke Penjara Queenstown, Outram, Pearl's Hill, Tampines dan ke Pusat Pemulihan Dadah Selarang serta Penjara Changi dan Tanah Merah.



Mereka kemudian menuju ke arah utara melalui pusat latihan pemulihan (RTC) Bedok, Kaki Bukit, Penjara Chia Keng di Yio Chu Kang, Khalsa Crescent sebelum menamatkan larian selama 11 jam, 6 minit dan 12 saat itu di Penjara Admiralty West.



Di titik 21 kilometer larian mereka, teman mereka RO Mohamad Hazlan Mohd Said yang telah berkhidmat lebih dua dekad di SPS pula turut ikut serta dalam larian itu dengan menceritakan pengalamannya berkhidmat di penjara-penjara lama.



"Banyak tempat yang kita lalui dah banyak berubah. Misalnya, kawasan di Sekolah Latihan bagi kakitangan penjara lama di Sembawang sudah jadi dormitori.



"Apabila kami melalui DRC Selarang, Hazlan pula memberitahu kami dulu-dulu banduan bebas dan boleh melintas jalan dengan ditemani pegawai untuk pergi ke kemudahan penjara lain," kata RO Mustafa, 38 tahun.



Dengan kebiasaan mereka berlari dalam acara lari lumba jarak jauh, larian Reben Kuning mereka itu tidak begitu mencabar buat mereka.



Malah, bagi CW Amir dan RO Mustafa, mereka juga bertanggungjawab menganjurkan kegiatan fizikal bagi banduan di penjara.



CW Amir yang memegang rekod larian peribadinya sepanjang 200 kilometer Januari lalu, misalnya bergiat membimbing banduan untuk memperbetulkan cara-cara mereka berlari yang kemudian mereka amalkan semasa waktu rehat atau Yard Time.



RO Mustafa yang menyandang jawatan sebagai Pegawai Unit Perumahan (HUO) di Institusi Tanah Merah 1, pula telah menganjurkan maraton vertikal - iaitu maraton naik tangga - bagi seramai 40 banduan belia.



YRVR tahun ini kembali dibuka kepada orang ramai setelah setahun tidak dianjurkan ekoran pandemik Covid-19 dengan menampilkan dua kategori:



Pertama, YR Beri Peluang - di mana peserta boleh berjalan, berlari atau mendaki tidak kira jaraknya menerusi laluan berbentuk reben.



Kedua, YR Cabar Diri - iaitu larian sejauh 60 kilometer dalam satu laluan berbentuk reben kuning. Larian itu boleh dilakukan dalam berlari atau dibahagi-bahagikan jaraknya kepada lima sesi larian yang berasingan.



Jarak 60 kilometer itu juga merupakan satu tanda berdasarkan kajian bahawa jika seorang bekas banduan tidak melakukan jenayah sepanjang 60 bulan (lima tahun) sesudah menjalani hukuman, ia mengurangkan risiko mereka kembali masuk penjara lagi.



Menurut SPS, seramai 5,400 orang telah menyertai larian itu dengan setiap pendaftaran menyumbang $10 kepada Dana Reben Kuning, dengan sasarannya untuk mengumpul $100,000 tahun ini.



Lebih $91,000 telah dikumpul daripada penderma kepada dana tersebut, kata SPS.



"Larian Reben Kuning ini adalah untuk mengingatkan diri kami terhadap cabaran yang dilalui banduan sedang mereka menuju ke arah pemulihan... Misalnya, apabila kami mula berlari, rasanya perjalanannya jauh sekali... sama seperti tempoh awal menjalani hukuman penjara. Namun kemudian di pertengahan jalan, kami mula menerima bantuan; dari segi pendidikan, kaunseling dan peluang memanfaatkan diri atau membuat kawan baru di penjara."
- CW Amir Hamzah Abdul Razak.



"Banyak tempat yang kita lalui dah banyak berubah. Misalnya, kawasan di Sekolah Latihan bagi kakitangan penjara lama di Sembawang sudah jadi dormitori. Apabila kami melalui di Chia Keng, Hazlan pula memberitahu kami dulu-dulu banduan bebas dan boleh melintas jalan untuk pergi ke kemudahan penjara lain."
- RO Mustafa Kamal Fasalul Rahman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >