APABILA polis dimaklumkan bahawa kit ujian pantas antigen (ART) telah dicuri daripada pusat ujian pantas (QTC) Tekka, siasatan mendedahkan bahawa dua wanita didakwa terlibat di sebalik kehilangan kotak kit itu.
Semalam, Audrey Sau Qi Ng, 24 tahun, dan Deng Xiangying, 27 tahun, masing-masing dituduh bagi satu kesalahan mengambil dan menjual beberapa barangan itu untuk memperoleh wang tunai.
Mereka dikatakan telah bekerjasama untuk melesapkan 103 kotak kit ART bernilai lebih $14,000.
Daripada jumlah kotak itu, pasangan berkenaan didakwa menjual 44 kotak dalam talian untuk kira-kira $5,300.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada September dan Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan (MOH) di laman webnya menyatakan bahawa QTC menyediakan ART yang dibayar sendiri, di mana ujian kendiri dilaksanakan dan diawasi oleh penyedia ujian Covid-19 yang diluluskan.
Dalam satu kenyataan sebelumnya, polis berkata pasangan itu telah dikerahkan ke QTC Tekka di Little India.
Kedua-dua wanita itu berada di Terminal Bas Little India pada sekitar 3.40 petang pada 19 September tahun lalu, ketika mereka didakwa menukar 103 kotak kit ART untuk kegunaan mereka sendiri.
Kemudian, mereka didakwa menjual 44 kotak - satu kesalahan di bawah Akta Rasuah, Pemerdagangan Dadah dan Jenayah Serius Lain (Rampasan Manfaat) (CDSA).
Dalam kenyataannya, polis berkata bahawa pada 1 Oktober tahun lalu, pihaknya menerima laporan bahawa kit ART milik Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB) telah dicuri dari QTC Tekka.
Kes melibatkan pasangan itu telah ditangguhkan kepada bulan depan.
Bagi mengambil harta benda secara tidak jujur, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda.
Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah CDSA boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga $500,000.