Dua wanita maut, empat cedera selepas kereta terhempas di tepi jalan luar Lucky Plaza

DUA pejalan kaki wanita maut dan empat lagi cedera ekoran satu kemalangan kereta yang serius di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road petang semalam

Pihak polis berkata ia telah dimaklumkan mengenai satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan enam pejalan kaki wanita, berusia antara 37 dengan 56 tahun di Orchard Road, pada 4.58 petang semalam.

Dalam kenyataannya, polis berkata:

"Dua pejalan kaki, berusia 41 dan 50 tahun, tidak sedarkan diri semasa dikejarkan ke hospital Tan Tock Seng, di mana mereka meninggal dunia selepas itu disebabkan kecederaan yang dialami.

"Empat pejalan kaki lain, berusia 37 hingga 56 tahun, dihantar ke hospital Tan Tock Seng dalam keadaan sedar.

"Pemandu lelaki berusia 64 tahun diberkas atas kesalahan memandu dengan berbahaya dan menyebabkan kematian. Siasatan polis diteruskan."

Beberapa saksi kejadian memberitahu akhbar The Straits Times bahawa kereta berkenaan telah melanggar pagar besi lalu terjatuh ke jalan raya bersebelahan pusat beli-belah itu.

Gambar yang tular dalam talian menunjukkan sekurang-kurangnya dua wanita terbaring di tepi kereta itu. Seorang wanita kelihatan terhempap di bawah kenderaan tersebut.

Pusat beli-belah Lucky Plaza dikenali sebagai tempat riadah popular di kalangan pembantu rumah asing, terutamanya yang berasal dari Filipina dan pekerja asing semasa hari cuti mereka.

Pada 7 malam semalam, jalan raya di luar pusat beli-belah itu ditutup pihak polis dengan beberapa pemerhati berhimpun di tempat kejadian.

Galeri Foto