SINGAPURA merupakan antara enam negara yang disasarkan dalam satu kempen pancingan data yang berkemungkinan berlaku, menurut Kumpulan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT).
Kempen tersebut akan memberi fokus terhadap sokongan pemerintah kepada perniagaan dan individu di tengah pandemik Covid-19.
Dalam satu nasihat yang dikeluarkan, SingCERT berkata kempen pancingan data itu dijangka dilancarkan di Singapura pada 21 Jun 2020.
"Berdasarkan laporan, e-mel pancingan data akan dihantar dari akaun e-mel palsu daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) kepada perniagaan untuk menawarkan sokongan tambahan sebanyak $750 kepada pekerja mereka," kata nasihat itu.
Pancingan data kekal salah satu cara efektif yang sering digunakan penjenayah siber untuk mendapatkan akses kepada akaun individu, mengirimkan malware kepada mangsa, atau menipu mangsa untuk mendedahkan maklumat sensitif termasuk nombor akaun bank dan nombor kad kredit.
SingCERT menasihatkan orang ramai agar kekal berwaspada dan memastikan kesahihan penghantar e-mel sebelum melakukan apa-apa.
Untuk maklumat lanjut tentang cara mengesan tanda-tanda pancingan data, sila lungsuri https://www.csa.gov.sg/gosafeonline/go-safe-for-me/homeinternetusers/spot-signs-of-phishing.