Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dugaan kali kedua bagi mangsa kebakaran flat Whampoa

Mar 02, 2021 | 05:30 AM



BARU tahun lalu, adiknya yang berusia 19 tahun, meninggal dunia disebabkan serangan jantung.



Bagai jatuh ditimpa tangga, Encik Muhammad Haiqal Zuraimi, 23 tahun, tidak menyangka keluarganya ditimpa satu lagi musibah apabila flat dua bilik mereka di Whampoa musnah akibat kebakaran yang berlaku pagi kelmarin.



Encik Haiqal mempunyai enam beradik sebelum adiknya, yang merupakan anak ketiga, meninggal dunia.



"Kehilangan adik saya tahun lalu dan sekarang pula kehilangan rumah kami memang satu dugaan yang nyata buat kami.



"Kami benar-benar rasa kehilangan sesuatu yang besar dalam hidup kami," kata anak sulung, yang sudah tinggal di flat dua bilik di Blok 22 Jalan Tenteram itu sejak 11 tahun lalu.



Namun, beliau bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.



Memberi perincian terhadap keadaan mereka, beliau berkata, ayah tirinya, seorang pemandu forklift, berusia 52 tahun, sudah selesai menjalani pembedahan kerana beliau tercedera semasa melarikan diri.



"Ada beberapa luka yang perlu dijahit dan kini beliau sedang dirawat di SGH (Hospital Besar Singapura)," ujar Encik Muhammad Haiqal ketika dihubungi semalam.



Tiga adiknya, berusia antara 15 dengan 18 tahun dan seorang bayi anak saudara lelaki berusia sekitar tiga bulan pula dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, kerana terhidu asap.



Adik lelakinya berusia 15 tahun mengalami kelecuran di bahagian belakang telinganya, manakala adik lelaki berusia 16 tahun pula mengalami sedikit kelecuran dan patah tulang di bahu kanan.



"Namun, ibu saya perlu menjalani pembedahan di SGH kerana doktor mendapati beliau patah tulang di bahagian belakang pinggangnya.



"Ini mungkin disebabkan impak selepas terjun dari rumah kami di tingkat dua untuk larikan diri daripada kebakaran hari itu," jelas Encik Muhammad Haiqal lagi.



Dalam kenyataannya di Facebook kelmarin, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia mengetahui mengenai kebakaran yang berlaku di flat itu pada sekitar 9 pagi.



"Api marak hingga merebak ke seluruh rumah yang terletak di tingkat dua," ujar SCDF.



Enam orang dari flat itu menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.



Dua daripada mereka ditemui di kolong blok dengan kesan kecederaan. Mereka diberi rawatan segera oleh anggota paramedik dan kru Khidmat Perubatan Kecemasan SCDF.



Pada masa sama, anggota bomba dari Balai Bomba Central memadamkan api menggunakan jet air dan dua beg galas berisi busa udara mampat, kata SCDF.



Sekitar 100 penduduk dari blok terjejas dipindahkan oleh SCDF dan polis. Beberapa flat di sebelah dan atas mengalami kerosakan, menurut SCDF.



Siasatan awal mendapati kebakaran itu berasal dari punca elektrik di ruang tamu, tambah SCDF.



Apabila kejadian itu berlaku, Encik Muhammad Haiqal sedang sibuk mengendalikan tempahan penghantaran makanan dan sedang bergegas pulang ke rumah apabila seorang teman memberitahunya tentang kejadian itu.



Beliau berkata, pihak berkuasa telah menawarkan sebuah flat kosong yang terletak berdekatan kawasan itu sebagai tempat tinggal sementara.



"Pihak sekolah juga akan menghulurkan bantuan bagi barang sekolah yang hilang akibat kebakaran itu bagi adik-adik saya yang 15 dan 16 tahun," ujar beliau lagi.



Ketika dihubungi, Menteri Negara Kanan (Pertahanan) dan Anggota Parlimen (AP) Encik Heng Chee How (GRC Jalan Besar) berkata:



"Pihak HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) sedang membantu keluarga itu untuk mendapatkan tempat tinggal buat sementara jika perlu.



"Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF) Whampoa dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) juga sedang menghubungi keluarga itu untuk menghulurkan bantuan," kata Encik Heng lagi.



Sementara itu, Encik Muhammad Haiqal, bersama adiknya Encik Muhammad Huzaimi Zuraimi, 22 tahun akan menetap di rumah seorang teman buat sementara, manakala ibunya telah bercadang untuk tinggal bersama saudara keluarga selepas diizin keluar dari hospital.



"Nasib baik kami tak mempunyai banyak barang kemas dalam rumah itu, tapi saya amat risau bagi ibu saya kerana beliau hilang beberapa stok jualannya," kata Encik Muhammad Haiqal.



Ibunya, yang bekerja sebagai pengendali resepsi di sebuah hotel tempatan juga menjual pakaian secara sambilan, jelas Encik Muhammad Haiqal lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >