Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

Dulu dipindah ke aliran Normal, kini pegawai SAF

Dec 16, 2019 | 05:30 AM

TAK kenal erti kalah bagi askar yang sudah mengharungi pelbagai cabaran sewaktu masih muda lagi.

Selepas ibu bapanya bercerai semasa Leftenan Muda (2LT) Khadri Joffery berada di sekolah menengah, beliau tinggal bersama ibunya.

"Ibu bapa saya sering bergaduh dan perceraian mereka sewaktu saya masih di sekolah menengah membuat saya benci pulang ke rumah hingga pelajaran saya terjejas - dipindahkan ke aliran Normal (Akademik) daripada aliran Ekspres," katanya yang kini berusia 26 tahun.

Bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu berkata beliau kemudian berjaya ke Politeknik Singapura dan mengambil jurusan teknologi marin.

Selepas itu, 2LT Khadri bertugas sebagai pegawai kapal selama 13 bulan.

2LT Khadri menyertai Perkhidmatan Negara (NS) pada usia 25 tahun dan bertekad agar masa sewaktu NS tidak disia-siakan.

Kesungguhan semangat juangnya membantunya sehingga akhirnya beliau ditauliah pula sebagai pegawai logistik bersama 418 kadet yang menerima pangkat 2LT sewaktu perbarisan pentauliahan pegawai di Institut Ketenteraan Safti semalam.

Mengimbas kembali cabaran yang dihadapi sebelum menyertai NS, 2LT Khadri berkata perjalanan hidup beliau selama inilah yang mematangkan beliau semasa perlu menjalani latihan Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

Semasa menjalani Latihan Asas Ketenteraan (BMT), beliau malah berjaya mempertingkatkan keputusan Ujian Kecekapan Jasmani Individu (IPPT) ke tahap 'emas' pada minggu-minggu terakhir BMT.

2LT Khadri telah dianugerah rekrut terbaik dalam kompeninya semasa BMT dan dilantik sebagai komander perbarisan Perbarisan Lulus Latihan (POP).

"Walaupun keluarga saya ditimpa banyak cabaran, ibu saya tetap berusaha buat diri saya dan adik. Sehingga sekarang, saya berpegang kepada nasihat ibu iaitu setiap kali dilanda kesukaran, walaupun seolah sudah ditakdirkan, kita masih berupaya mengatasi segalanya dengan usaha yang gigih," tegasnya.

Dengan petua ibunya itu, 2LT Khadri berkongsi perasaan bangga setelah beliau melaksanakan tugasnya sebagai pegawai logistik ketika menjalani latihan di luar negara.

"Saya dilantik penyelaras bahan keperluan serta kenderaan untuk digunakan latihan itu.

"Apabila saya melihat semuanya teratur walaupun kami harus mencari huraian secara berdikari, saya tidak dapat menahan perasaan bangga saya itu," katanya.

2LT Khadri yang kini diberi jawatan jurulatih pegawai logistik berkongsi hasrat menjadi pendidik kepada kadet lain.

"Saya berniat memupuk nilai murni kepada mereka agar mereka mempunyai pengalaman positif walau apa pun cabarannya. Saya berharap mereka akan mengatasi cabaran dengan penuh keikhlasan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Halimah Yacob yang menghadiri acara semalam, dalam ucapannya berkata NS memainkan peranan penting bagi mengekalkan keharmonian sosial.

"NS menyatukan Singapura, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, untuk berdiri sama dalam mempertahankan Singapura serta identiti kita.

"Peranan ini lebih penting sekarang. Hari ini, kita berdepan dengan akses kepada teknologi meluas, yang secara tidak langsung turut menyebarkan ideologi ektremis," kata Puan Halimah.

Awal dari itu, Puan Halimah turut berkata walaupun Singapura negara yang kecil, ia tetap berpengaruh di persada dunia ekoran kedudukannya sebagai orang tengah yang adil dan jujur.

"SAF yang kuat lantas penting bagi memastikan kita terus mengekalkan kepentingan kita dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini," kata Puan Halimah.


PRESIDEN HALIMAH MENGENAI PERANAN PENTING NS

"NS menyatukan Singapura, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, untuk berdiri sama dalam mempertahankan Singapura serta identiti kita. Peranan ini lebih penting sekarang. Hari ini, kita berdepan dengan akses kepada teknologi meluas, yang secara tidak langsung turut menyebarkan ideologi ektremis."
- Tukilan ucapan Presiden di majlis Perbarisan pentauliahan pegawai di Institut Ketenteraan Safti.