Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dulu pandu 'VIP', kini bawa penumpang sebagai kapten bas

Nov 07, 2020 | 05:30 AM



SEJURUS tamat tempoh Pemutus Litar pada Jun lalu, Encik Noor Hamzah Osman, 37 tahun, menghantar permohonan pekerjaan sebagai kapten bas SBS Transit melalui e-mel dan portal pekerjaan, Job Street.



Permohonannya diterima dan beliau mula bertugas menjadi kapten bas iaitu pemandu bas pada September lalu.



Sebelum ini, Encik Hamzah sebenarnya bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial selama hampir lima tahun.



Antaranya, beliau telah bertugas dengan badan kebajikan SPD selama setahun lebih selaku penyelia bengkel sebelum menjadi kapten bas SBS Transit.



Tugasnya di SPD sebelum ini adalah untuk menjalankan latihan buat golongan kurang upaya bersiap sedia memasuki alam pekerjaan.



Namun, apabila beliau terpaksa bekerja dari rumah semasa tempoh Pemutus Litar, beliau berasa gelisah duduk di rumah dan akan pergi berlari-lari anak setiap hari.



Suatu hari semasa berlari-lari anak, tergerak hatinya hendak menukar pekerjaan menjadi pemandu bas.



"Saya memang sudah lama minat memandu tetapi tidak fikir saya akan menjadikan memandu sebagai satu kerjaya," ujar Encik Hamzah yang sudah memiliki lesen memandu kereta (kelas tiga) sejak usianya 21 tahun apabila beliau memasuki Perkhidmatan Negara (NS).



Beliau kemudian mendapat lesen memandu kenderaan berat (kelas empat) pada usia 22 tahun.



Semasa menjalani NS di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau ditugaskan menjadi pemandu buat kenderaan logistik dan membawa orang kenamaan (VIP).



Selepas NS, Encik Hamzah, lulusan diploma dalam jurusan pengurusan sukan daripada sebuah institusi privet, pernah bertugas sebagai ahli mesin di industri aeroangkasa, menjadi jurulatih memandu selama hampir tujuh tahun di Pusat Memandu ComfortDelgro dan juga pemandu teksi sambilan pada hujung minggu semasa bertugas dalam sektor perkhidmatan sosial.



Kata Encik Hamzah lagi, yang suka menaiki dan bermain permainan bas sejak usia lima tahun:



"Saya suka memandu dan tidak boleh duduk diam di rumah. Sebab itu, saya bawa teksi secara suka-suka semasa bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial."



Namun, beliau tidak menafikan bahawa isterinya, Cik Nurhazlin Jaffar, seorang eksekutif pentadbiran, berasa berat hati dengan keputusan Encik Hamzah mahu menukar pekerjaan pada waktu pandemik koronavirus Covid-19.



Bapa seorang anak berusia dua tahun ini, bagaimanapun, percaya minatnya dalam memandu akan membuatnya selesa menjadi kapten bas.



Kini, beliau sudah memandu bas selama hampir dua bulan di Pusat Tukaran Bas Sengkang.



Untuk menjadi kapten bas SBS Transit, pemohon perlu memiliki pendidikan minimum peringkat menengah dua atau literasi tempat kerja (WPL) peringkat tiga, atau yang setaraf.



Pemohon juga mesti memiliki lesen memandu kelas tiga atau empat yang sah, dengan pengalaman memandu sekurang-kurangnya selama setahun.



Pelatih SBS Transit kemudian perlu menyertai kursus Akademi Bas Singapura (SGBA) dan menjalani latihan SBS Transit selama melebihi sebulan.



Mengimbas hari pertama Encik Hamzah sebagai kapten bas, beliau berkata:



"Saya ada rasa gementar tetapi saya mampu kawal perasaan semasa memandu bas. Pada hari pertama saya bekerja, saya juga berdepan dengan seorang penumpang berkerusi roda dan mujurlah saya selesa membantunya kerana sudah dilatih untuk membantu golongan berkerusi roda semasa bekerja di SPD dan membantu penumpang berkerusi roda ketika menjalani latihan SBS Training."



Dalam pada itu, Encik Hamzah juga memastikan agar beliau memberi salam kepada penumpangnya dan kini, sudah mengenali penumpang yang selalu menaiki perkhidmatan bas feeder yang dipandunya.



Keselamatan penumpang adalah keutamaannya.



"Seorang kapten bas mesti sentiasa bersikap berjaga-jaga dan mempunyai keupayaan menilai keadaan.



"Misalnya, sebelum kapten bas tekan brek, beliau mesti ingat bahawa para penumpang tidak memakai tali pinggang keledar dan ada penumpang sedang berdiri. Jadi, kapten bas tidak boleh tiba-tiba tekan brek," kata Encik Hamzah, anak sulung dalam tiga beradik.



Bagi memberi sokongan kepada Encik Hamzah, isterinya pernah menaiki bas awam yang dipandunya.



"Menjadi kapten bas adalah tugas yang memuaskan. Selain itu, SBS Transit turut menawarkan laluan kerjaya dan latihan bagi setiap kapten bas dan ini membolehkan kami mempertingkatkan diri dan maju jika kami berusaha," kata Encik Hamzah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >