Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dulu penagih kini bimbing pesalah kembali ke pangkal jalan

Jan 20, 2019 | 05:30 AM



MEMBESAR dalam persekitaran yang bergelumang dengan pengaruh buruk, sukar untuk melepaskan diri daripada cengkaman dadah.



Itulah yang dilalui Encik Ismadi Ishak, 50 tahun.



Tatkala ditemui Berita Minggu, beliau berkongsi bahawa di tempatnya membesar, sama ada mereka menjadi penagih dadah, atau ahli kumpulan samseng.



Malangnya, beliau terperangkap dalam kededuanya sekali.



Tujuh tahun sudah berlalu sejak beliau bebas dadah.



Kini, Encik Ismadi merupakan pegawai operasi di Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah) dan membimbing pesalah lain yang sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.



Lebih-lebih lagi dengan latar belakangnya yang suatu ketika dahulu terjebak dalam gejala dadah, ia membantunya mendekati dan memahami masalah yang dihadapi penghuni rumah peralihan itu dengan lebih baik.



Perjalanan Encik Ismadi untuk mencapai tahap bebas dadah hari ini penuh liku.



Beliau menggambarkan kehidupannya berdepan dengan maksiat hampir setiap hari dahulu, sejak kecil lagi.



"Saya tinggal di tingkat 11. Apabila ke sekolah, saya jarang mengambil lif, jadi saya turun tangga. Dalam pada saya turun dari tingkat 11 ke tingkat 10, saya nampak orang hisap ganja, turun dari tingkat 10 ke 7, orang hisap heroine...



"Sampai sahaja di tingkat satu, saya dah 'high' (mabuk akibat pengaruh dadah)" jelasnya yang mula menjamah ganja pada usia semuda 11 tahun.



Budaya kawasan perumahan flat sewanya itu pula jenis yang menariknya mencuba bahan itu.



"Mereka akan tanya, 'Kau pergi sekolah eh? Hisap hisap hisap!" ujar anak sulung tiga adik beradik itu.



Encik Ismadi akur keluarganya tidak bermasalah dan beliau dididik dengan asas agama. Bahkan, beliau tahu mengambil dadah itu salah, tetapi berkata sukar untuk tidak turut terjebak dalam gejala itu memandangkan persekitarannya dinodai pengaruh buruk.



"Ibarat kita masuk ke kedai bunga dan berada di situ selama dua jam. Walaupun kita tak beli bunga, badan kita tetap dapat baunya," ujar Encik Ismadi.



Walau bagaimanapun, Encik Ismadi yang sifatnya tenang tidak mahu menuding jari kepada sesiapa kerana beliau percaya apa jua sekalipun, menyalah guna dadah adalah keputusannya sendiri.



Kehidupannya yang bergelumang di kancah dadah mengakibatkan beliau masuk ke pusat pemulihan dadah sebanyak lima kali dan sekali meringkuk dalam penjara.



Setelah kali terakhir di penjara selama lima tahun sembilan bulan itu, Encik Ismadi membuat keputusan mahu hidup bebas dadah sejak 2012.



"Apabila ibu saya melawat saya, soalan pertamanya adalah 'Apa matlamat kau dalam hidup?'



"Sebelum ini saya tak fikir serius hal ini, tapi lama-kelamaan saya pun terfikir, eh... takkan hidup aku macam gini?" jelasnya.



Perjalanan mahu berubah menjadi baik pula bukanlah satu yang mudah. Beliau berdepan dengan pelbagai hinaan dan cacian daripada bermacam-macam orang termasuklah saudara-mara sendiri.



Meskipun bapa seorang anak itu menyifatkan dirinya sebagai panas baran dan mudah bergaduh dahulu, kini beliau tenang dan tidak menghiraukan apa yang diperkatakan orang.



Baginya, orang lain tidak mungkin dapat memahami kesusahan berjuang menentang ketagihan dadah sehingga terkena batang hidung sendiri. Justeru itulah beliau tidak putus memberi kata-kata semangat kepada para pesalah.



Pekerjaannya kini di Darul Islah, yang baginya adalah "rumah kedua" ibarat "panggilan".



"Tuhan meletakkan saya di sini, dan ini amanah saya untuk menolong kawan-kawan saya sebaik mungkin," ujarnya.



Di samping itu, Encik Ismadi turut terlibat dalam memberi ceramah bagi Pendidikan Pencegahan Dadah (PDE) di bawah Biro Narkotik Pusat (CNB).



Kini kehidupannya yang tidak dibelenggu dadah lagi membantunya melihat dunia dalam lensa yang positif, dan setiap hari beliau berusaha untuk mengisinya dengan kebaikan.



Malah, beliau memahami erti kehidupan dan lebih menghargainya.



Tambah Encik Ismadi yang mengongsi pepatah kegemarannya: "Satu dengan kosong, satu banyak. Setengah dengan kosong, setengah banyak. Suku dengan kosong, suku tetap lebih banyak. Walau sedikit mana pun, jika kita selalu rasa bersyukur dengan pemberian Allah swt, hidup kita selalu lebih tenang."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >