Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSONALITI

Dulu tidak dapat didikan formal agama, kini genggam diploma Syariah

Aug 12, 2018 | 05:30 AM



SEMASA muda dahulu, Cik Sarimah Itnin tidak berkesempatan mendapat pendidikan agama secara formal.



Kini berusia 45 tahun, beliau menggenggam segulung Diploma Syariah dari Kolej Islam Muhammadiyah (KIM).



Perjalanan itu bukan mudah sedang beliau perlu mengimbangi tugas sebagai guru tadika serta satu lagi diploma pendidikan awal kanak-kanak, selain diploma syariah itu.



Namun, Cik Sarimah sudah lama berazam mendalami ilmu agama.



"Salah satu sebab saya tidak berpeluang mendapat pendidikan agama formal semasa muda dahulu ialah keadaan keluarga yang susah. Sudah dewasa, sibuk dengan kerjaya. Sudah berumah tangga, sibuk dengan keluarga pula.



"Alhamdulillah, saya dapat juga akhirnya," ujar Cik Sarimah.



Beliau menerima diploma tersebut dalam satu majlis konvokesyen di kampus Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) di Stirling Road baru-baru ini.



Ibu dua anak perempuan berusia 17 tahun dan 14 tahun itu sudah lama menanam hasrat memperbaiki kefahaman serta meluaskan ilmu pengetahuan mengenai Islam.



Didorong azam tersebut, Cik Sarimah mengimbangi diploma Syariah itu dengan kerjaya sebagai guru tadika serta satu lagi kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari KLC Institute.



Dari Isnin hingga Jumaat, beliau bekerja pada sebelah pagi di prasekolah dan kemudian mengambil kelas pendidikan awal kanak-kanak dari 2 petang hingga 5 petang.



Di bawah program diploma KIM pula, Cik Sarimah meluangkan masa setiap hari Ahad selama hampir tiga tahun.



"Cabaran utama adalah mengimbangi masa dengan tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan dan menyiapkan tugasan serta mengulangkaji pelajaran.



"Memang rasa tertekan dengan jadual yang padat tetapi saya sering mengingatkan diri apakah niat utama saya belajar dan berazam untuk sentiasa usaha, istiqamah dan berdoa agar diberikan kemudahan dan kekuatan fizikal dan mental.



"Sokongan keluarga dan iringan doa orang di sekeliling juga memainkan peranan dalam seseorang mencapai impian," ujar Cik Sarimah.



Biasanya beliau akan melakukan tugasan dan ulang kaji pada lewat malam dan hujung minggu dan memanfaatkan setiap masa lapang.



Sebagai seorang yang melalui pendidikan sekular, Cik Sarimah mendapati penggunaan bahasa Arab serta hafalan hadis amat mencabar.



Namun, pencapaian menamatkan program diploma kini memberi beliau keyakinan melanjutkan pengajian Islam di peringkat ijazah pula.



"Pendorong utama bagi saya adalah mereka yang sudah lanjut usia yang terus bersemangat bagi mendapatkan ilmu.



"Melihat mereka yang kurang daya dari segi fizikal, mereka yang hidup dengan penuh cabaran tetapi tetap tekun belajar menjadi inspirasi saya untuk tiada alasan bagi saya yang diberi kesempurnaan serta kesihatan," ujarnya yang turut mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS)-Universiti Southern Cross.





"Pendorong utama bagi saya adalah mereka yang sudah lanjut usia yang terus bersemangat bagi mendapatkan ilmu. Melihat mereka yang kurang daya dari segi fizikal, mereka yang hidup dengan penuh cabaran tetapi tetap tekun belajar menjadi inspirasi saya untuk tiada alasan bagi saya yang diberi kesempurnaan serta kesihatan."
- Cik Sarimah Itnin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >