Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN PERUBAHAN IKLIM

'Dunia harus ambil tindakan iklim dengan segera, kolektif dan tersusun'

Masagos juga tekankan komitmen Singapura dalam tangani isu perubahan iklim
Dec 13, 2018 | 05:30 AM



MENTERI Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata tindakan iklim perlu diambil dengan segera, secara kolektif dan tersusun daripada pelbagai pihak dunia.



Membentangkan kenyataan nasional Singapura di persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Katowice, Poland, semalam, Encik Masagos turut menekankan komitmen penuh Singapura untuk mencapai hasil kukuh dalam Persidangan ke-24 Pelbagai Pihak (COP-24) ke Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang diadakan di bandar Kratowice.



"Kita mesti menghasilkan set garis pandu yang berwibawa, berdaya tahan, dan pragmatik untuk melaksanakan Perjanjian Paris.



"Buku Peraturan Katowice (Katowice Rulebook) harus menjadi pemangkin tindakan," ujar Encik Masagos, merujuk kepada matlamat Poland untuk menetapkan garis pandu yang dipersetujui pihak di COP-24.



Hasil persidangan itu harus mendorong semua pihak untuk mengambil tindakan iklim dengan segera, kata Encik Masagos.



Selain itu, COP-24 mesti membentangkan 'satu pakej keputusan' untuk menyokong pelaksanaan Perjanjian Paris oleh semua pihak.



"Kita mesti memastikan sokongan yang mencukupi bagi negara membangun, khususnya Negara Membangun Pulau Kecil dan Negara Paling Kurang Maju, untuk melaksanakan garis panduan itu," ujar Encik Masagos.



Mengulas tentang tindakan iklim Singapura, Encik Masagos berkata Singapura telah menghantar sasaran bercita-cita tinggi untuk mengurangkan pengeluaran gas hijau Singapura sebanyak 36 peratus daripada tahap 2005 menjelang 2030, dan memantapkan pengeluarannya selepas itu.



Sebagai sebahagian rancangan itu, Singapura akan melaksanakan cukai karbon melibatkan seluruh ekonomi Singapura pada 2019, dan menjadi negara Asia Tenggara pertama berbuat demikian, ujar beliau.



Menulis di Facebook semalam, Encik Masagos berkata:



"Singapura melihat cukai karbon sebagai cara berkesan dari segi ekonomi untuk mengekalkan harga karbon yang telus, adil dan konsisten di seluruh ekonomi untuk menggalak pengurangan karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga."



Singapura menjangka meraih $1 bilion dalam lima tahun pertama daripada cukai karbon, tetapi negara itu bersedia membelanjakan lebih daripada jumlah itu dalam tempoh sama untuk menyokong projek bagi mengurangkan pengeluaran karbon, tambah Encik Masagos.



Selain itu, Singapura telah memperuntuk tahun 2018 sebagai Tahun Tindakan Iklim, dan menerima lebih 300,000 ikrar iklim daripada pelbagai pihak berkepentingan.



Negara ini juga telah mengambil langkah perlindungan terhadap kesan buruk perubahan iklim.



"Baru-baru ini, Singapura mula menggunakan Tangki Tahanan Stamford, yang sebesar 15 kolam renang, untuk mengatasi banjir di Orchard Road.



Sebagai pengerusi Asean pula, Singapura telah menjadikan perubahan iklim sebagai satu keutamaan.



Pemimpin Asean telah menyampaikan Kenyataan Bersama Asean mengenai Perubahan Iklim, dan mengadakan Mesyuarat Menteri Asean Khas mengenai Perubahan Iklim untuk mengatasi cabaran tersebut.



"Asean mencapai kemajuan. Ia telah menjangkau sasaran kecekapan tenaganya, mengurangkan tenaga sebanyak lebih 20 peratus pada 2016 berbanding 2005, lebih awal daripada sasaran 2020," dedah Encik Masagos dalam ucapannya.



Singapura juga menyokong negara membangun dengan melancarkan Pakej Tindakan Iklim Julai lalu untuk membangun keupayaan di negara membangun.



"Kita mesti menamatkan set garis pandu yang berwibawa, berdaya tahan, dan pragmatik untuk melaksanakan Perjanjian Paris.




"Buku Peraturan Katowice (Katowice Rulebook) harus menjadi pemangkin tindakan."
- Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >