SATU kebakaran berlaku di sebuah flat di Blok 557 Bedok North Street 3 awal pagi semalam - dipercayai disebabkan basikal menggunakan kuasa (PAB) yang sedang dicas.
Dua orang yang terperangkap di kawasan belebas di luar dapur flat itu diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Mereka kemudian dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Kira-kira 45 penduduk di blok terjejas dipindahkan, kata SCDF, yang sedang melakukan siasatan lanjut mengenai kebakaran itu.
SCDF menyatakan ia menerima panggilan kecemasan sekitar 10.25 pagi semalam mengenai satu kebakaran di blok berkenaan.
Kebakaran itu membabitkan barangan di sebuah bilik flat di tingkat tujuh dan di koridor rumah berkenaan.
Anggota SCDF daripada Balai Bomba Changi dapat memadamkan api tidak lama kemudian.
"Pasukan itu juga menyelamatkan dua orang daripada unit terjejas, yang ditemui terperangkap di kawasan belebas di luar dapur.
"Mereka dengan segera diselamatkan melalui tingkap dapur," ujar SCDF dalam kenyataannya semalam.
Dua orang itu dihantar ke SGH kerana masalah tersedut asap.
Kira-kira 45 penduduk blok tersebut dipindahkan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Pelajar Alya Batrisyia Ismail, yang tinggal dua unit dari flat terbakar itu, berkata beliau sedang berehat di rumah apabila terdengar dua bunyi dentuman kuat.
"Saya terdengar orang pekik-pekik. Ketika itu saya berada bersama adik dan dua abang saya. Mak dan bapa sedang bekerja.
"Abang saya membantu memadamkan api dan saya menelefon SCDF.
"Tidak lama kemudian, kami diminta meninggalkan flat kami,'' kata Alya, 16 tahun, yang bersyukur rumahnya tidak terjejas, tetapi elektrik belum dipulihkan ketika beliau dihubungi semalam.