Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ekon keseluruhan ditimbang teliti sebelum tentukan tarikh kenaikan GST

Keputusan naikkan GST dari 7% ke 9% tidak boleh ditangguh selamanya; kesan ke atas majoriti warga hanya dirasa 5 tahun mendatang: Indranee
Jan 12, 2022 | 05:30 AM



PEMERINTAH sedang "mempertimbangkan dengan teliti" keadaan keseluruhan ekonomi sebelum menentukan masa menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menyatakan bahawa kenaikan itu tidak boleh ditangguhkan selamanya, kata Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah.



Beliau menambah kesan kenaikan GST tidak akan dirasakan warga Singapura serta-merta tetapi beberapa tahun selepas itu.



Cik Indranee berkata demikian sebagai menjawab beberapa soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) berkenaan kenaikan GST daripada 7 peratus kepada 9 peratus di Parlimen semalam.



Kenaikan GST itu kali pertama diumumkan pada 2018 dan bertujuan membantu Singapura menampung perbelanjaan yang akan terus meningkat disebabkan perubahan demografik dan sekitaran seperti penjagaan kesihatan, penduduk yang menua dan perubahan iklim.



Dalam Amanat Tahun Baru, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata terdapat keperluan menaikkan GST memandangkan ekonomi Singapura mula bangkit daripada pandemik Covid-19.



"Dalam menentukan masa untuk kenaikan GST, kami mempertimbangkan dengan teliti keadaan keseluruhan ekonomi.



"Ekonomi semakin pulih dan... ia dijangka berkembang seiring dengan pemulihan ekonomi global," ujar Cik Indranee.



Namun, beliau menekankan bahawa kesan kenaikan GST tidak akan dirasakan majoriti warga Singapura serta-merta.



Ini kerana pemerintah telah mempersiap langkah-langkah bagi membantu warga mengharungi tempoh setelah kenaikan GST itu.



"Kami akan mengurangkan dengan ketara kesan kenaikan kadar GST kepada rakyat Singapura melalui Pakej Jaminan.



"Kami telah memperuntukkan $6 bilion untuk pakej ini untuk menyediakan wang tunai dan sokongan lain kepada warga Singapura.



"Sokongan ini akan secara efektif melambatkan kesan kenaikan kadar GST sekurang-kurangnya selama lima tahun bagi majoriti isi rumah Singapura... isi rumah berpendapatan rendah akan menerima lebih banyak sokongan di bawah pakej jaminan ini dan bagi golongan ini, kesan kenaikan kadar GST hanya akan dirasai 10 tahun kemudian," jelas Cik Indranee.



Meskipun tidak mendedahkan tarikh kenaikan GST - yang sepatutnya dilaksanakan antara 2021 dengan 2025 - Cik Indranee memberi jaminan bahawa apa pun tarikh tersebut, pemerintah akan membantu warga yang memerlukan sokongan tambahan akibat kenaikan itu.



"Pada asasnya, walau apa pun peningkatan perbelanjaan mereka akibat GST, pakej jaminan telah direka untuk membantu mereka menghadapi kenaikan itu.



"Pemerintah secara langsung memberi tokok tambah kepada mereka supaya mereka tidak merasakan kesannya," ulas beliau.



Cik Indranee menambah bahawa bagi Belanjawan 2022, pemerintah akan memberi keutamaan bagi membantu warga Singapura menghadapi kos sara hidup.



Skop langkah sokongan bagi isi rumah juga sedang disemak bagi Belanjawan tahun ini.



Sementara itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata inflasi tidak akan terus meningkat dan dijangka reda dalam tahun ini. Inflasi naik 3.8 peratus pada November tahun lalu.



Beliau berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) akan memantau dengan dekat dan mengambil langkah tegas terhadap peniaga yang cuba meningkatkan harga tanpa munasabah untuk meraih keuntungan berlebihan dan menggalakkan ketelusan harga seperti melalui aplikasi perbandingan harga barangan, Price Kaki.




“Kami telah memperuntukkan $6 bilion untuk pakej ini untuk menyediakan wang tunai dan sokongan lain kepada warga Singapura. Sokongan ini akan secara efektif memperlambatkan kesan kenaikan kadar GST sekurang-kurangnya selama lima tahun bagi majoriti isi rumah Singapura... isi rumah berpendapatan rendah akan menerima lebih banyak sokongan di bawah pakej jaminan ini dan bagi golongan ini, kesan kenaikan kadar GST hanya akan dirasai 10 tahun kemudian.”
– Menteri Kedua Kewangan, Cik Indranee Rajah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >