Ekonomi S’pura diramal tumbuh sifar hingga 1 peratus

MENCERMINKAN isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi Singapura terjejas dengan kelemahan ekonomi sejagat, pemerintah menurunkan ramalan ekonomi Singapura kepada sifar hingga 1 peratus tahun ini.

Ini berbanding ramalan awal sebanyak 1.5-2.5 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Ekonomi tumbuh lebih perlahan sebanyak 0.1 peratus pada suku kedua berbanding setahun lalu, dari peningkatan 1.1 peratus pada suku pertama.

Ia susut 3.3 peratus bagi suku kedua berbanding peningkatan 3.8 peratus pada suku pertama.

Setiausaha Tetap MTI, Encik Gabriel Lim berkata ketidaktentuan dan risiko akibat kelemahan ekonomi sejagat meningkat sejak tiga bulan lalu.

Ia termasuk ketegangan dagangan Amerika Syarikat dan China, kelemahan dalam ekonomi China, ketidaktentuan di Hongkong dan Brexit.

“Ekonomi Singapura dijangka terus menghadapi cabaran bagi baki tahun ini. Khususnya, kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu akan kekal lemah disebabkan permintaan semikonduktor sejagat yang turun mendadak,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Namun, beberapa bidang akan terus memberi sokongan kepada ekonomi termasuk penerbangan, makanan dan minuman , komunikasi, kewangan, binaan, pendidikan dan kesihatan, tambahnya.