PENGARAH pengimport peralatan sukan di Singapura yang mengelak daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan lebih daripada $13,400 telah dikenakan denda sebanyak $64,000, pada Rabu lalu.
Marco Dittrich, pengarah Singapore Tri-Global, mengaku bersalah kepada satu tuduhan mengelak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Satu tuduhan serupa sedang dipertimbangkan.
Penduduk Tetap Singapura itu didapati bersalah memiliki barangan yang nilai yang dinyatakan lebih rendah bagi 33 penghantaran bahagian basikal yang diimport oleh Singapore Tri-Global dan mengelak cukai lebih $9,000 dalam bentuk GST antara Jun dengan Disember tahun lalu.
Antara Januari dengan April tahun ini, Dittrich salah mengisytiharkan nilai 13 penghantaran bahagian basikal dan mengelak cukai GST lebih $4,400.
Barangan yang terlibat dipercayai diimport dari China.
Kesalahannya diketahui pada 9 Februari tahun ini selepas pegawai Kastam melakukan pemeriksaan terhadap konsainan roda basikal dan mendapati nilai yang dinyatakan adalah 14 kali lebih rendah daripada nilai sebenar iaitu sekitar $23,360.
Para pegawai itu sedar bahawa bilangan itu tidak sama selepas memeriksa dokumen sokongan yang diberikan penghantar barang konsainan.
Di bawah Akta Kastam, seseorang yang terlibat dalam pengelakan atau cuba untuk mengelak cukai GST boleh didenda sehingga 20 kali bilangan yang cuba dielak.