Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA

Empat ciri utama ajaran sesat

Dikenal pasti Jawatankuasa Fatwa Muis sebagai panduan umum bagi masyarakat
Dec 09, 2021 | 05:30 AM



JAWATANKUASA Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengenal pasti beberapa ciri utama ajaran sesat, sebagai panduan umum untuk masyarakat.



Pertama: Penerimaan wahyu/ilham menerusi proses 'menurun'



Dakwaan oleh guru atau pemimpin atau pengikut bahawa dia boleh menerima wahyu daripada Allah atau daripada sumber ghaib yang tidak diketahui oleh orang lain, adalah satu tanda penyelewengan.



Ini tidak kira sama ada individu itu mendakwa menerima wahyu dengan mendengar suara atau melalui proses 'menurun', antara lain.



"Dakwaan tersebut bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah, kerana tidak seorang pun boleh mendakwa telah menerima wahyu daripada Allah kecuali para Nabi dan Rasul.



"Oleh itu, semua dakwaan menerima wahyu selepas Nabi Muhammad adalah palsu.



"Adapun ilham itu ialah gerak hati yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang salih, tanpa perantara.



"Bagaimanapun, ilham tidak boleh membawa sebarang hukum atau perundangan agama baru, dan juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana hukum Islam yang telah ditetapkan," kata fatwa itu.



Kedua: Mengubah suai hukum agama



Terdapat beberapa tafsiran atau amalan dalam ajaran sesat yang tidak mempunyai asas agama.



Ini termasuk (a) penambahan amalan tanpa sebarang asas kukuh, atau (b) mengubah hukum agama, seperti mengamalkan 'nikah batin' atau mempercayai bahawa solat dianggap sempurna dengan hanya berniat untuk solat, tanpa benar-benar menjalankan ibadah solat itu.



a) Mengubah amalan agama



Membuang dan/atau menggantikan amalan agama wajib seperti solat, puasa, haji, dan amalan-amalan lain tanpa alasan sah (seperti keringanan untuk orang uzur), adalah tanda penyelewengan.



"Semua kaedah ibadah mestilah selari dengan petunjuk yang terdapat dalam Al-Quran, serta ajaran Nabi Muhammad saw," ujar fatwa itu.



Ia menambah bahawa salah satu sumber tafsiran yang boleh membawa kepada penyelewengan agama ialah kekeliruan terhadap konsep 'hakikat' dalam bidang tasawuf.



"Walaupun konsep itu diiktiraf sebagai kesempurnaan ibadah yang dicapai melalui pematuhan penuh syariah, mereka yang mempunyai kecenderungan menyeleweng telah menyalahtafsirkan tulisan ulama tasawuf tentang konsep ini, dan kemudian menyelewengkan ajaran Islam," kata fatwa itu.



Sebagai contoh, ada pihak mendakwa bahawa ibadah solat mengikut hakikat berbeza daripada yang dilakukan oleh masyarakat Islam arus perdana.



Begitu juga, terdapat tafsiran 'batin' bagi beberapa ibadah, yang membenarkan perbuatan tertentu yang sudah jelas dilarang dalam agama, seperti zina, berjudi, dan minum arak.



Ini adalah penyelewengan tasawuf, yang boleh membawa kepada penyelewengan.



b) Mengubah hukum agama



Berikut adalah beberapa contoh perubahan hukum agama yang digunakan oleh beberapa ajaran sesat:



i. Nikah Batin



Nikah batin ialah perkahwinan yang dilakukan tanpa wali, saksi, akad nikah rasmi, dan mas kahwin. Dalam kebanyakan kes nikah batin, tidak ada batasan kepada bilangan wanita yang boleh 'dikahwini' seorang lelaki itu.



Perbuatan sebegini berlaku sama ada antara pengikut ajaran tertentu, atau antara guru dan pelajarnya.



Pelaku biasanya mendakwa bahawa mereka telah menerima wahyu daripada Allah untuk melakukan perbuatan tersebut.



Syariah telah menetapkan dengan jelas hukum mengenai perkahwinan dan menetapkan syarat-syarat jelas untuk sah perkahwinan, menurut fatwa itu.



Oleh itu, perkahwinan hanya sah apabila memenuhi syarat tersebut.



Ini berbeza daripada 'nikah batin', yang boleh menjadi hubungan rohani antara guru dan pengikut wanitanya atau melibatkan hubungan fizikal antara mereka; kerana kedua-dua jenis bercanggah dengan ajaran agama yang jelas dan boleh mengakibatkan semua pihak melakukan dosa besar.



ii. Penambahan ritual yang tidak dibenarkan



Sesetengah ajaran sesat menjalankan ritual pembersihan tambahan yang tidak diwajibkan oleh agama.



Menurut syariat Islam, terdapat syarat bersuci yang khusus, seperti berwuduk sebelum menunaikan solat, mandi wajib kerana hadas besar, dan mandi sunah yang sangat digalak pada hari-hari tertentu, seperti pada hari Jumaat dan Hari Raya.



Penambahan kepada syarat penyucian ritual yang diterima dalam Islam, seperti mandi ritual yang dianggap wajib oleh pemimpin sesuatu ajaran sebagai syarat untuk menjadi sebahagian daripada kumpulannya, adalah satu percanggahan langsung ajaran agama, dan merupakan petanda bahawa kumpulan itu mengamalkan ajaran sesat.



Imam al-Ghazali, dalam penolakannya terhadap ajaran mazhab al-Batiniyah, menyatakan bahawa golongan ini menghendaki pengikutnya memperbaharui baiah kepada pemimpin mereka dengan melakukan penyucian wajib.



Ketiga: Kepercayaan pada makna tersembunyi di sebalik huruf dalam Al-Quran



Menafsir Al-Quran memerlukan penguasaan bahasa Arab yang kuat, serta memerhatikan metodologi tafsir yang betul.



Sebarang kepercayaan terhadap makna tersembunyi di balik ayat atau huruf dalam Al-Quran adalah salah (fasid) dan tidak diterima dalam Islam.



Ia adalah sifat yang boleh didapati dalam banyak ajaran sesat yang telah wujud pada masa lampau.



Sebagai contoh, ajaran al-Batiniyah beranggapan bahawa segala sesuatu yang zahir dalam agama juga mempunyai makna batin, dan mereka yang melihat hanya zahir dianggap jahil, dan selama-lamanya terhad kepada undang-undang luar syariah.



Kepercayaan ini adalah palsu dan mesti ditolak.



Keempat: Amalan rawatan kerohanian (ruqyah) meragukan



Melakukan rawatan kerohanian dengan membaca Al-Quran dan zikir yang betul dengan mengikuti Tibb Nabawi (Rawatan Cara Nabi) adalah sesuatu yang didukung oleh agama.



Amalan sebegini dikenali sebagai ruqyah shar'iyyah.



Amalan penyembuhan rohani menurut prinsip Islam ini terkenal dan telah diasaskan oleh ulama dan pakar yang berwibawa.



Nabi Muhammad bersabda: "Tidak ada salahnya (berbuat) ruqyah, selama tidak ada (unsur) syirik di dalamnya."



Ini berbeza daripada amalan rawatan tradisional, atau penyembuhan rohani yang mengandungi unsur yang meragukan.



Sebagai panduan umum, seseorang mesti memastikan keadaan berikut wujud:



- Perawat ruqyah mesti mempunyai pengetahuan agama yang kuat, dan bertindak berdasarkan pengetahuan ini dengan sewajarnya, untuk memastikan bahawa tindakan rawatan itu selaras dengan ajaran agama dan dilindungi daripada ramalan dan khayalan tidak dibenarkan oleh agama.



Yang kritikal ialah ajaran aqidah mesti dijaga, bagi memastikan amalan seseorang tidak terpesong oleh khurafat dan syirik.



- Amalan penyembuhan rohani tidak boleh bercanggah dengan prinsip Islam dan mesti mengelakkan segala yang dilarang dalam agama.



Ini termasuk prinsip berikut:



a. Wajib menjaga batas pergaulan dengan individu berlainan jantina yang bukan mahram.



Semasa menjalankan rawatan, seorang perawat tidak boleh (i) menyentuh secara fizikal mereka yang bukan mahramnya tanpa sebarang keperluan mendesak seperti yang diiktiraf dalam Islam; dan (ii) seorang perawat tidak boleh berseorangan dengan orang berlainan jantina (yang bukan mahramnya). Perbuatan tersebut tidak mengikut ajaran Islam, dan oleh itu tidak boleh dibenarkan atas dasar ruqyah;



b. Bahan yang dilarang, serta yang dianggap najis atau kotor, seperti darah, tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada rawatan; dan



c. Mantera tidak boleh dibaca.



"Peruqyah perlu mempunyai kebolehan membaca Al-Quran dan doa dalam bahasa Arab. Melakukan rawatan ruqyah shar'iyyah secara rohani memerlukan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan zikir terpilih.



"Perawat perlu memastikan bacaan Al-Quran mereka tepat dan jelas, kerana makna ayat boleh berubah jika tersalah baca.



"Ketidakpatuhan pada tuntunan agama yang disebutkan di atas adalah petanda bahawa kaedah rawatan yang digunakan meragukan dan boleh bercanggah dengan ruqyah shar'iyyah," kata fatwa itu.



Rawatan yang berjaya melalui kaedah sedemikian bukanlah bukti kepatuhannya dengan syariat Islam.



Ibn Abi al-'Izz al-Hanafi berkata walaupun seseorang itu mungkin kelihatan mempunyai kebolehan unik, sekiranya orang itu tidak mematuhi kewajipan dan larangan hukum agama, ia tidak bernilai apa-apa.



INFOGRAFIK: CIRI-CIRI AJARAN SESAT




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >