SEJUMLAH 3.2 kilogram (kg) ganja, 20 gram dadah tiruan 'Ice' dan 98 butir Erimin-5, yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih $109,000 telah dirampas dalam satu operasi Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dijalankan semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, CNB berkata, para anggotanya telah dikerahkan mengawasi pergerakan satu sindiket di kawasan Clementi.
Sindiket itu dipercayai akan menerima bekalan dadah mereka.
Kira-kira 4 petang semalam, seorang lelaki berusia 44 tahun dilihat bertemu seorang lelaki berusia 41 tahun, di luar unit rumahnya di Clementi.
Kedua-dua lelaki ini warga Singapura.
Tidak lama kemudian, kedua-dua suspek ini berpisah, tetapi lelaki yang lebih muda telah diberkas sejurus kemudian.
Para anggota CNB kemudian mengiringinya ke rumahnya di Clementi Avenue 1.
Pemeriksaan yang dilakukan telah membawa kepada penemuan kira-kira 2.2kg ganja dan beberapa peralatan dadah, termasuk penimbang digital.
Sementara itu, para anggota CNB terus memantau pergerakan suspek pertama, dan mereka kemudian melihat dia bersama seorang lelaki warga Singapura berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun, di luar sebuah kereta berwarna putih di tempat meletak kereta bertingkat.
Ketiga-tiga mereka telah diberkas.
Wanita tu adalah pengguna dadah.
Satu pemeriksaan berasingan di rumah suspek berusia 44 tahun itu di rumahnya di Clementi Road telah membawa kepada penemuan ganja seberat kira-kira 1kg.
Satu lagi pemeriksaan di tempat persembunyian lelaki berusia 29 tahun di River Valley Road telah membawa kepada penemuan sejumlah kecil ganja, 'Ice', pil Erimin-5 dan perkakas dadah.
Sejumlah kecil Erimin-5 juga ditemui dalam pegangan wanita yang diberkas.
Siasatan sedang dijalankan.
Mereka yang disabit kesalahan mengedar lebih 500g ganja boleh menghadapi hukuman mati.