Eng Hen: Lebih baik cari huraian secara berdamai

 

ADALAH lebih baik menghuraikan sebarang pertikaian, seperti yang berhubung kelautan dan ruang udara antara Singapura dengan Malaysia, menerusi rundingan damai, kata Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen.

“Perkara paling penting yang diperoleh sejak beberapa minggu lalu, apabila kapal kerajaan Malaysia memasuki perairan Singapura di Tuas, serta keadaan di Seletar dan itu tentang ruang udara, ialah, kita telah mengelak saling bertumbukan,” kata Dr Ng, bercakap kepada media di acara kemasyarakatan di Bishan pada Ahad (20 Jan).

“Adalah lebih baik menghuraikan pertikai menerusi perbincangan dan rundingan damai,” tambah beliau.

Menurut Dr Ng, agensi keselamatan di Singapura kekal berjaga-jaga sementara perbincangan berlangsung antara kededua negara itu.

Singapura dan Malaysia, sejak akhir tahun lalu, terlibat dalam pertikaian tentang ruang udara dan sempadan kelautan.

Malaysia mendakwa prosedur dan sistem pendaratan instrumen (ILS) yang ingin diperkenalkan Singapura bagi Lapangan Terbang Seletar menjejas pembangunan pelabuhan Pasir Gudang di Johor, sesuatu yang disangkal Singapura.

Oktober lalu, Malaysia, secara sepihak, melanjutkan had pelabuhan Johor Bahru ke perairan yang dimiliki Singapura di Tuas, dengan beberapa kapal kerajaan Malaysia mencerobohi perairan itu.