Eng Hen: S'pura usaha gigih pasti sidang puncak Trump-Kim berjalan lancar

SINGAPURA akan berperanan sebagai tuan rumah yang baik untuk sidang puncak pada 12 Jun, dan berbilang agensi sedang bekerja keras untuk memastikan pertemuan  bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berjalan lancar, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen.

Setiausaha Pertahanan Amerika James Mattis dan Menteri Pertahanan Korea Selatan Song Young Moo mengucap terima kasih kepada Singapura dalam ucapan masing-masing di Dialog Shangri-La semalam.

Awal dari itu, Encik Trump, yang sebelum ini telah membatalkan sidang puncak itu, memberi pengesahan bahawa ia akan berlangsung seperti yang dirancang.

“Ramai yang berkata bahawa tanpa Singapura, kita tidak akan maju sehingga tahap ini. Saya bukannya memberi respons kepada komen itu, tetapi saya menganggapnya sebagai mengiktiraf usaha pegawai kita yang telah membawa kita ke tahap ini,” kata Dr Ng, bercakap kepada akhbar The Straits Times selepas beliau mengadakan jamuan tengah hari untuk menteri pertahanan negara lain.

Menurut Dr Ng, ketua pertahanan yang hadir di jamuan  itu membincangkan hal Korea Utara dan cabaran keselamatan lain. Tambah Dr Ng, beliau telah meminta pendapat tetamunya tentang sidang puncak yang bakal berlangsung itu.

“Saya bertanya kepada mereka, walau ada beberapa syarat dan sedikit keraguan, sama ada pertemuan antara Amerika dengan Korea Utara adalah positif, dan sebilangan besar daripada mereka berpendapat sedemikian,” ujar Dr Ng.

“Ia langkah konstruktif dan kukuh he hadapan. Ayuh kita berharap dan merancang, dan jika ia berlangsung, kita berharap yang terbaik,” kata Dr Ng.

Dr Ng juga mengesahkan bahawa Singapura akan menampung kos kawalan keselamatan untuk mengadakan sidang puncak itu, dan menambah:

“Ia kos yang rela kami tanggung untuk memain peranan kecil.”

​​

Menteri yang hadir di jamuan itu juga bersetuju bahawa demi kemajuan rantau ini, ‘undang-undang perlu dikenakan kepada semua, besar atau kecil, dan mencari persamaan dan dialog sentiasa lebih baik dan menyelesaikan pertikaian menerusi cara aman adalah langkah ke hadapan,” kata Dr Ng.

Ditanya sama ada ketegangan wujud semasa jamuan itu, yang turut dihadiri Encik Mattis dan Leftenan Jeneral He Lei, yang mengetuai rombongan China, selepas Encik Mattis memberi ucapan tegas tentang perbuatan China memperluan pengaruh ketenteraannya di Laut China Selatan, Dr Ng berkata:

“Kami semua bersikap profesional. Ia adalah sebahagian diplomasi. Anda boleh bersetuju dengan baik dan juga bersenyum walau anda tidak bersetuju akan sesuatu perkara.”

Namun, Dr Ng berkata adalah penting bagi negara-negara lain untuk menyatakan pandangan mereka tentang perkara itu, kerana pandangan berbeza memang diketahui wujud.

“Tapi, selepas menyatakan pandangan berbeza, dari sudut diplomasi, adalah wajar mencari persamaan dari perbezaan yang telah diutarakan. Selanjutnya, jika persamaan ini gagal dicapai, kita boleh  mencari bahagian yang konstruktif, atau apakah langkah seterusnya, untuk mencapai persetujuan?”

Awal dari itu, Encik Mattis dalam ucapannya, telah menuduh China bersikap ‘mendesak dan menakut-nakutkan’ negara jiran tentang kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan. Beliau turut memberi amaran ‘kesan lebih besar’ jika China meneruskan tindakan lantang ini.