WANITA yang dirakam dalam video enggan memakai pelitup di resort bersepadu Marina Bay Sands (MBS) dijangka mengaku bersalah 12 Ogos ini.
Phoon Chiu Yoke, yang kini ditahan, hadir di mahkamah melalui pautan video semalam.
Dia meminta mahkamah membebaskannya tanpa syarat yang ditetapkan.
Phoon, yang tidak diwakili, juga meminta pasportnya dikembalikan dengan menekankan bahawa dia memiliki "rekod profesional luar biasa".
Mahkamah menolak permohonannya dan dia terus berada dalam tahanan.
Phoon kini menghadapi 22 tuduhan atas pelbagai kesalahan termasuk beberapa kali gagal memakai pelitup di tempat awam.
Dia kali pertama muncul di mahkamah tahun lalu setelah didakwa gagal memakai pelitup di pusat penjaja Newton antara 7.20 malam dengan 8 malam pada 8 Mei lalu semasa tempoh pemutus litar.
Dia meninggalkan Singapura ke Britain sejurus setelah kesalahan yang didakwa itu.
Dia kembali ke Singapura pada 28 Jun tahun lalu dan perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di MBS hingga 12 Julai.
Phoon didakwa meninggalkan bilik hotelnya di MBS antara 8.07 malam dengan 8.23 malam pada 28 Jun tahun lalu.
Dia dikatakan berkeliaran di beberapa kawasan hotel tersebut dan dituduh gagal memakai pelitup waktu itu.
Dia juga didakwa gagal memakai pelitup di tempat awam beberapa kali antara 2 Disember tahun lalu dengan 24 Mei tahun ini - di MBS, di luar bangunan Mahkamah Negara, di Clarke Quay Central dan di Kompleks Bras Basah.
Warga Singapura berusia 54 tahun itu kemudian diberi ikat jamin apabila didakwa gagal memakai pelitup di Hotel Mandarin Orchard pada 25 Jun.
Pada 24 Julai, Phoon dikenakan tuduhan terbarunya berkaitan kejadian ini dan ikat jaminnya $12,000 dibatalkan. Dia kemudian direman.