KADAR bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) bagi beberapa gantri khusus Ekspreswe Central (CTE) akan dinaikkan sebanyak $1 mulai 31 Ogos ini.
Langkah mengawal kesesakan di CTE pada waktu sibuk ini diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataannya pada Selasa (25 Ogos).
Menurut kenyataan itu, $1 dikenakan antara 7.30 pagi dengan 8.30 pagi di lorong auksiliari CTE menghala ke selatan dan menuju ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) (Changi)/Serangoon Road.
Bayaran ERP $2 pula dikenakan bagi dua set gantri di CTE menghala ke utara (selepas PIE) antara 6 dengan 6.30 petang dan antara 6.30 petang dengan 7 malam. Kadar ERP di gantri sepanjang CTE menghala ke selatan sebelum Braddell Road bagaimanapun kekal pada $1 antara 8 hingga 9 pagi.
LTA menambah, semakan ketiga kadar ERP itu dibuat menyusuli tempoh pemutus litar jangkitan Covid-19. Berdasarkan pemantauan LTA terhadap keadaan trafik dari awal hingga pertengahan Ogos 2020, tahap kelajuan trafik kekal optimal di kesemua jalan raya utama dan kebanyakan ekspreswe kecuali bagi masa tertentu di CTE.
"Memandangkan lebih ramai orang berulang-alik dari rumah ke tempat bertugas, kadar trafik kian bertambah sewaktu masa sibuk antara Isnin hingga Jumaat. Ini membawa kepada kesesakan yang tertumpu pada beberapa lokasi khusus sepanjang CTE pada waktu sibuk, setiap pagi dan petang," jelas LTA lagi.