Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Erti Arif Budiman bagi tiga guru yang menerima Agab

Dec 20, 2020 | 05:30 AM



TIGA guru telah menerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) tahun ini sebagai pengiktirafan sumbangan cemerlang mereka dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.



Cik Elna Hussin, Cik Nur Syahirah Sa'adon dan Cik Siti Rohani Hanim Selamat telah menerima anugerah tersebut di Edutorium di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) semalam.



Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang hadir selaku tetamu terhormat di majlis penyampaian Agab 2020.



Ketiga-tiga guru itu dipilih sebagai pemenang daripada seramai lapan finalis Agab tahun ini.



Ditemui semalam, Cik Syahirah, guru di Sekolah Rendah West View, yang menerima Agab bagi kategori Perangsang (bagi guru dengan kurang 10 tahun pengalaman), berkata:



"Alhamdulillah saya rasa amat berbesar hati kerana diberi anugerah ini dan saya anggap penganugerahan ini sebagai satu langkah untuk saya melakukan yang lebih baik bagi anak murid kita yang bakal menjadi pelapis masyarakat pada masa hadapan."



Guru berpengalaman lebih empat tahun itu berkata pendidik hari ini perlu bersikap lebih terbuka dan prihatin dalam menangani murid-murid masa kini.



"Ada kalanya kita harus bersikap ramah terhadap mereka seperti kawan kepada mereka tapi pada masa yang sama kita harus menetapkan batasan supaya mereka dapat membezakan antara komunikasi dengan rakan sebaya dan komunikasi dengan seorang yang lebih tua, dalam konteks ini, guru mereka," ujar beliau.



Ditanya apakah erti 'Arif Budiman' baginya, Cik Syahirah memberitahu Berita Minggu:



"Bagi saya, Arif Budiman membawa pengertian seorang duta atau ikon yang bukan hanya berintelektual, namun tetap merendah diri dan sentiasa menjaga tutur kata, sikap dan perbuatan dalam apa jua yang dilakukan."



Seorang lagi penerima Agab 2020 bagi kategori Perangsang, Cik Siti Rohani, berkata Arif Budiman ialah seorang yang berilmu, berguna dan yang paling penting, berjasa.



"Bak kata pepatah, kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar takkan berbau. Tiada gunanya kita berilmu jikalau ilmu itu tidak digunakan, lebih-lebih lagi buat kebaikan diri sendiri dan orang lain.



"Oleh itu, saya cuba semaikan pendirian ini dalam kehidupan harian saya dan berharap anak-anak didik saya juga akan terpengaruh untuk ikut serta," ujar guru Sekolah Menengah Fuhua itu.



Guru Sekolah Rendah Westwood, Cik Elna, satu-satunya penerima Agab 2020 bagi kategori Teladan (bagi guru dengan lebih 10 tahun pengalaman), berpendapat guru yang arif lagi budiman itu haruslah seorang yang berpengetahuan dalam aspek bahasa, budaya, nilai dan emosi.



Beliau turut merasa bahawa guru harus sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan fraterniti perguruan untuk mempertingkatkan kompetensi guru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.



Ketiga-tiga penerima Agab tahun ini telah dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi, pemimpin sekolah dan wakil media.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >