Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Erti kejayaan belia S'pura ditakrif semula di tengah pandemik

Jan 30, 2022 | 05:30 AM



Bagaimanakah belia hari ini mentakrif kejayaan di tengah-tengah pandemik Covid-19? Soalan ini dikupas dalam satu tinjauan BERITA MINGGU ke atas lebih 100 belia baru-baru ini. Ikuti juga kisah tiga belia yang masing-masing memburu impian dan mengejar apa dianggap penting dalam kehidupan mereka.



DI tengah pandemik yang mungkin menimbulkan gangguan atau mencetus perubahan, belia di Singapura tetap berpandang jauh dan mementingkan matlamat jangka panjang seperti kecukupan persaraan dan tujuan dalam hidup.



Belia zaman sekarang juga kini semakin mementingkan 'keseimbangan kerja dan kehidupan' serta kesejahteraan, khususnya dari segi mental dan agama, sedang Covid-19 mencipta peluang dan kebiasaan baru.



Demikian menurut satu tinjauan rambang Berita Harian/Berita Minggu ke atas lebih 100 belia Melayu berusia antara 20 tahun dan 35 tahun mengenai takrif kejayaan bagi mereka.



Seramai 96.1 peratus menyifatkan kecukupan persaraan sebagai penting atau amat penting, dengan 68 peratus pula ingin bersara awal. Seramai 96 peratus mengutamakan keseimbangan kerja-kehidupan.



Tinjauan itu juga menunjukkan seramai 95 peratus pula menyebut 'tujuan dalam hidup' sebagai faktor penting atau amat penting dalam kehidupan mereka.



Masih ramai juga yang mementingkan kelayakan akademik (76.2 peratus), meskipun lebih ramai yang mementingkan kemajuan dalam kerjaya (84.2 peratus) dan kebolehan memburu minat (81.2 peratus).



Presiden Kelab Mendaki, Cik Faridah Saad, berkata ramai belia Melayu yang prihatin mengenai ketidaktentuan pekerjaan semasa pandemik ini, berdasarkan tinjauan yang dilakukan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) baru-baru ini.



Aspirasi untuk melanjutkan pendidikan juga tinggi dalam kalangan belia Melayu, menurut tinjauan itu.



"Belia Melayu/Islam secara peribadi ingin mencapai kejayaan pendidikan lebih tinggi.



"Mereka juga sedar bahawa pasaran pekerjaan bersaingan dan justeru terdorong untuk meningkatkan mobiliti pendidikan," ujar Cik Faridah.



Beliau menambah, trend ini dapat dilihat dengan semakin ramai pelajar sekolah menengah dan posmenengah yang menyertai program mentoring dan bimbingan kerjaya Kelab Mendaki.



Di sebalik cabaran pandemik, terpancar juga sinar harapan peluang yang baru.



ERTI KEJAYAAN DITAKRIF SEMULA



Pengurus Penglibatan Masyarakat dan AMP Muda, Cik Farahyn Banu Mohd Hasrat, berkata bagi golongan belia khususnya, pandemik ini telah menunjukkan bahawa kini terdapat lebih banyak peluang bagi diri mereka dan dalam mengukir haluan baru untuk mengecapi kejayaan.



"Erti tradisional kejayaan seperti memanjat tangga kerjaya bukanlah lagi suatu aspirasi.



"Belia kini lebih cenderung membina nama dan perniagaan mereka sendiri. Satu definisi kejayaan sekarang adalah keupayaan untuk mengejar aspirasi seseorang untuk melakukan sesuatu yang disukainya dan mencari rezeki daripadanya," kata Cik Farahyn.



Kebiasaan baru yang timbul daripada pandemik, termasuk amalan bekerja dari jarak jauh, kini juga membuka peluang baru dan mempengaruhi belia sedang mereka memikirkan masa depan.



Kesihatan mental kekal relevan dalam pandemik ini, dengan ramai responden yang menarik perhatian tentang kepentingannya dalam tinjauan BH/BM.



"Secara umumnya, pekerja belia menuntut lebih banyak keseimbangan kerja-kehidupan, fleksibiliti serta intervensi kesihatan mental daripada majikan, sedang belia berusaha menakrif semula kejayaan sejak permulaan pandemik.



"Majikan harus memberikan respons untuk menghalang bakat muda daripada mencari peluang di tempat lain," kata Cik Faridah.



Cik Farahyn pula berkata amalan bekerja dari rumah menjadi sesuatu yang dijangka oleh belia daripada tempat kerja mereka.



"Pekerja muda inginkan pekerjaan di mana mereka boleh bekerja dari jauh ataupun sekurang-kurangnya ada pilihan kerja hibrid.



"Mereka juga inginkan hari kerja dikurangkan untuk mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat," ujar Cik Farahyn.



PUDARNYA TARIKAN '5C'



Dahulu, '5Cs' - kondominium, kereta, kad kredit, keanggotaan 'country club', dan wang tunai (cash) - menjadi lambang kejayaan di Singapura.



Beberapa faktor itu kini kurang tarikan dan nilainya di mata anak muda, menurut tinjauan BH/BM itu lagi.



Seramai 99 peratus belia berkata keanggotaan 'country club' tidak penting atau kurang penting; 70.3 peratus berkata yang sama terhadap pemilikan kad kredit, dan 53.4 peratus bagi pemilikan rumah privet.



Namun, ternyata 'cash is still king' sedang simpanan wang tunai masih dianggap penting atau amat penting bagi 90.1 peratus responden.



Ternyata, generasi zaman sekarang terbentuk dengan keadaan semasa. Generasi belia hari ini ialah generasi pertama yang hidupnya dibentuk oleh teknologi mudah alih, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Zahid & Shah Group.



"Justeru secara semula jadi, sumber keutamaan mereka datang dari apa yang mereka baca di media digital. Ini membuat pembacaan dan pemikiran mereka menjadi lebih global.



"Jika dahulu, belia lebih risaukan tentang isu asas seperti peluang pekerjaan selepas sekolah atau Perkhidmatan Nasional (NS), kini kerisauan mereka beralih kepada perkara perkara global seperti isu perubahan iklim, kemampanan, mobiliti sosial, kesihatan mental dan lain-lain lagi," ujar Encik Shah Reza, yang syarikatnya turut merangkumi Forum Belia Muslim.



Malah, Covid-19 juga meningkatkan lagi minat belia untuk menyumbangkan kembali kepada mereka yang memerlukan, katanya.



"Tidak hairan jika mereka inginkan tempat kerja yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.



"Syarikat-syarikat boleh memikirkan cara untuk menyelaraskan objektif perniagaan mereka agar ia relevan kepada masyarakat dan juga aspirasi pekerja mereka. Syarikat juga perlu mempelbagaikan cara mereka terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menarik minat pekerja belia mereka," ujarnya.



PENTINGNYA MODAL BUDAYA



Melahirkan harapan agar belia meningkatkan kemajuan dan potensi mereka, pensyarah kanan di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Azhar Ibrahim, menggesa belia untuk terus membina modal budaya, termasuk pendedahan global.



Ini termasuk penguasaan korpus sastera dan seni, kefasihan pelbagai bahasa, pendedahan tentang warisan dan budaya, serta jaringan kontak serantau dan global.



"Kemampuan mereka untuk melihat lebih luas bahawa ranah membangun diri atau kerjaya bukan terbatas pada lingkungan setempat saja, namun dunia yang lebih besar untuk mereka mencuba.



"(Mereka juga perlu) daya kreatif mencari ruang tukikan, atau niche, yang mana mereka boleh menunjukkan kecermelangan dan kemampuan. Ini memerlukan visi yang terbuka dan rasa bebas untuk mencuba dan membina," katanya.



Erti tradisional kejayaan seperti memanjat tangga kerjaya bukanlah lagi suatu aspirasi.

Belia kini lebih cenderung membina nama dan perniagaan mereka sendiri. Satu definisi kejayaan sekarang adalah keupayaan untuk mengejar aspirasi seseorang untuk melakukan sesuatu yang disukainya dan mencari rezeki daripadanya.

- Pengurus Penglibatan Masyarakat dan AMP Muda, Cik Farahyn Banu Mohd Hasrat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >