SELEPAS membuat pengumuman untuk terus bertanding di pilihan raya umum akan datang ini, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong telah melakukan kunjungan menemui para penduduk di kawasan-kawasan GRC Aljunied, seperti di tempat makan Serangoon Gardens, NTUC Fairprice Serangoon North, Kangkar Mall dan Kovan Hub.
Turut ikut sama adalah para pengerusi jawatankuasa Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan Aljunied GRC Cik Chan Hui Yuh, Encik Chua Eng Leong, Encik Shamsul Kamar, Encik K Muralidharan Pillai dan Encik Victor Lye.
Encik Goh berkata beliau bukan berkempen malah hanya ingin memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan setugasnya yang telah banyak membantu penduduk di GRC Aljunied.
Beliau juga ingin mengisyaratkan bahawa PAP akan terus berusaha demi penduduk dan berharap partinya dapat "diberikan peluang untuk berkhidmat" di GRC Aljunied.