SYARIKAT media sosial, Facebook, semalam berkata, ia telah mengambil tindakan terhadap beberapa akaun di Singapura di atas apa yang disebutnya sebagai "tingkah laku tidak autentik", sedang ia membentangkan beberapa langkah yang ia kata sedang diambil untuk melindungi wibawa pilihan raya umum akan datang.
Ketua dasar awam syarikat itu di Singapura, Cik Clara Koh, memberitahu semasa satu taklimat media maya bahawa beberapa akaun didapati melanggar dasar tingkah laku tidak autentik dan dikesan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan wadahnya yang berterusan dan proaktif.
Cik Koh berkata, akaun-akaun itu telah memberikan gambaran yang salah tentang diri mereka sendiri, tetapi beliau enggan memberi perincian mengenai pelanggaran tertentu yang dilakukan, tindakan yang diambil atau berapa banyak akaun yang terlibat.
"Menjelang pilihan raya, kami telah melakukan pemeriksaan untuk memastikan kami membuang akaun yang menyamar calon (dan) pegawai yang dipilih," kata Cik Koh.
"Kami akan terus melakukan kerja proaktif kami untuk mencari, menghapus, atau setidaknya mengambil tindakan terhadap akaun yang memberikan gambaran salah tentang diri mereka di wadah kami."
Dikemas kini Oktober lalu, dasar Facebook menyenaraikan tiga jenis tingkah laku tidak autentik.
Yang pertama melibatkan kegiatan yang didorong kewangan seperti penipuan, atau taktik dampingan palsu, dan Facebook secara rutin mengambil tindakan terhadap tingkah laku seperti itu, katanya dalam catatan di laman webnya.
Tindakan yang sering tidak diumumkan itu boleh termasuk sekatan sementara, amaran atau penghapusan.